Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Lemang Kak Tom Kekal Jadi Pilihan, Permintaan Berterusan Walau Syawal Berlalu

By 23 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nor Hapi Zaini (Terengganu)

SETIU, 23 April (MalaysiaAktif) – Meskipun Syawal telah berlalu, juadah lemang terus mendapat tempat di hati masyarakat.

Di Kampung Sungai Bari, Setiu, Kak Tom atau nama sebenarnya Kuntum Awang, 54, telah mengusahakan perniagaan lemang lebih dua dekad.

“Sejak mula berniaga lebih 20 tahun lalu, saya menyediakan lemang setiap hari. Alhamdulillah, pelanggan sentiasa ada, malah ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk mendapatkannya di sini,” katanya ketika ditemui di gerainya, semalam.

Menurutnya, gerainya tidak pernah sunyi dengan kehadiran pelanggan setia, sama ada dari kawasan sekitar mahupun luar daerah.

Menjadikan jualan lemang sebagai sumber pendapatan utama, Kak Tom bagaimanapun tidak melihat pertambahan peniaga sebagai satu saingan.

Sebaliknya, beliau kekal optimis dan memandang perkembangan itu dari sudut positif.

“Dulu saya seorang sahaja menjual lemang di Sungai Bari. Kini apabila tiba musim perayaan, ramai yang turut berniaga. Gerai lemang tumbuh bagai cendawan dan suasana menjadi lebih meriah.

“Pertambahan peniaga bukan sahaja mewujudkan persaingan sihat, malah memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan serta membuka peluang kepada masyarakat setempat menjana pendapatan tambahan, khususnya menjelang musim perayaan,” katanya.

Baginya, sambutan terhadap lemang hasil air tangannya masih memberangsangkan, dengan kehadiran pelanggan tetap menjadi bukti bahawa kualiti dan rasa tradisi yang dihasilkan terus dihargai.

-RI

Tinggalkan komen anda