
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)/UTM
JOHOR BAHRU, 23 April (MalaysiaAktif) – Usaha memupuk minat pelajar sekolah dalam bidang pertanian moden dan keusahawanan terus diperkasakan menerusi pelancaran Projek Square Foot Sirih Garden Kolej 9 & 10, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Sebanyak 40 anak pokok diserahkan kepada pihak sekolah manakala 20 anak pokok ditanam di Rumah Aktiviti Pelajar, Kelab Keusahawanan Kolej 9 dan 10.
Inisiatif yang dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Abdul Rahman Yassin (DARY) itu bertujuan memberi pendedahan praktikal mengenai teknik penanaman sirih secara inovatif, sekali gus membuka ruang penjanaan pendapatan buat warga sekolah.
Pengarah program merangkap Pengerusi Kelab Keusahawanan Kolej 9 & 10 Risshee Kannan berkata inisiatif berkenaan turut memberi nilai tambah kepada pelajar melalui pendedahan terhadap potensi ekonomi tanaman sirih.
“Pasaran daun sirih mempunyai potensi ekonomi yang tinggi dengan nilai semasa sekitar RM8 bagi setiap ikat yang mengandungi 100 helai daun. Hasil jualan ini dijangka dapat membantu menjana pendapatan sekolah di samping menyokong kebajikan pelajar,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.

Risshee, berkata pasaran daun sirih berpotensi tinggi, bernilai sekitar RM8 bagi setiap ikat (100 helai).
Tambah Risshee, kejayaan projek ini turut mendapat sokongan padu daripada rakan industri, Aliyah Rizq Farm Sdn. Bhd., menerusi perkongsian kepakaran teknologi tanaman moden.
Beliau berkata melalui kolaborasi tersebut, pihak industri berkongsi kepakaran dalam teknologi tanaman moden serta menyumbang sebanyak 60 anak pokok sirih.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 40 anak pokok diserahkan kepada pihak sekolah, manakala baki 20 anak pokok ditanam di Rumah Aktiviti Pelajar, Kelab Keusahawanan Kolej 9 & 10,” katanya.
Inisiatif berteraskan kelestarian ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak projek hijau berimpak tinggi pada masa hadapan, jelasnya.
-RI





