
Laporan/foto: Fasharina Kholil (Pengkalan Hulu)
PENGKALAN HULU, 24 April (MalaysiaAktif) – Usaha memperkasa kemahiran komuniti terus dipergiat menerusi penganjuran Kelas Mahir Jahit oleh Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Felda Lepang Nenering yang menerima sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat, khususnya golongan wanita.
Pengurus NADI Felda Lepang Nenering Wan Suriyani Wan Senu, berkata program yang dilaksanakan secara berkala itu bertujuan memberikan pendedahan serta kemahiran asas dan lanjutan dalam bidang jahitan.
Antara fokus utama termasuk teknik mengukur, memotong fabrik serta menghasilkan produk seperti beg tangan.
Menurutnya lagi, peserta turut didedahkan kepada penggunaan mesin jahit moden selain teknik kemasan yang lebih kemas dan profesional.
“Kelas ini bukan sahaja membantu peserta menjimatkan kos melalui kemahiran menjahit sendiri malah membuka peluang untuk menjana pendapatan sampingan.
“Selain latihan praktikal, peserta juga diberikan pendedahan asas keusahawanan seperti penetapan harga, strategi pemasaran dan pengurusan tempahan,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.
Tambahnya, inisiatif tersebut selaras dengan usaha memperkasa ekonomi komuniti luar bandar melalui peningkatan kemahiran, sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.
-RI





