
Laporan/foto: Siti Imanina/Mohammad Ezwandi (Perak)
IPOH, 24 April (MalaysiaAktif) – Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) 2026 Peringkat Zon Utara yang bermula semalam di Stadium Indera Mulia, di sini memperlihatkan pendekatan baharu kerajaan dalam memperkasakan integrasi nasional.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara Yuneswaran Ramaraj berkata bagi tahun ini, kerajaan membahagikan sambutan kepada lima zon utama bagi meningkatkan interaksi rakyat merentasi sempadan negeri selaras dengan tema ‘Bersama Membina Negara Bangsa’.
“Pendekatan zon ini membolehkan kita berinteraksi dengan rakyat secara lebih dekat, fokus utama kita adalah untuk memupuk prinsip integrasi nasional iaitu faham, hormat, terima dan meraikan dalam masyarakat majmuk kita,” katanya, ketika merasmikan sambutan, semalam.
Sempena sambutan tersebut, program ‘Jom Baca Bersama 10 Minit’ turut dilaksanakan sebagai usaha berterusan membina budaya ilmu dalam negara.
Yuneswaran berkata amalan membaca selama 10 minit sehari secara konsisten mampu membentuk tabiat yang akhirnya akan menjadi budaya kekal dalam masyarakat.
Berdasarkan data, purata pembacaan rakyat Malaysia menunjukkan peningkatan positif iaitu 24 buah buku setahun pada 2022 berbanding 15 buah buku pada 2015, sekali gus menyokong matlamat menjadikan Malaysia sebagai ‘Negara Membaca’ menjelang 2030.
-RI






