Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Tiga Ditahan Salah Guna Kad Diesel Bersubsidi Seleweng Minyak Diesel

By 24 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)/Facebook Armizan Mohd. Ali

JOHOR BAHRU, 24 April (MalaysiaAktif) – Tiga lelaki termasuk seorang warga tempatan ditahan kerana disyaki menyalahgunakan kemudahan kad diesel bersubsidi (fleet card) bagi mengumpul diesel secara haram di sebuah premis di Taman Mount Austin, Tebrau, di sini semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata premis berkenaan didapati berselindung di sebalik bengkel membaiki kenderaan.

“Dalam operasi pada pukul 2.30 pagi itu, pihak berkuasa telah merampas kira-kira 11,500 liter (l) diesel yang dianggarkan bernilai RM58,880 dan tangki tambahan IBC (Tangki Pukal Sederhana) berkapisiti 1,200l yang bernilai RM6,144,” katanya ketika ditemui semasa membuat tinjauan di lokasi premis berkenaan, di sini semalam.

Beliau berkata antara lain yang disita adalah sebuah tangki IBC bersama diesel, peralatan hos, sebuah tangki treler, pam minyak, empat unit tangki IBC dalam muatan lori, sebuah lori dan kenderaan pacuan empat roda.

“Turut dirampas lapan keping kad diesel bersubsidi (fleet card) yang dipercayai digunakan sindiket untuk mengisi minyak secara berulang kali sebelum dikumpulkan di premis ini.

“Kesemua tiga individu masing-masing seorang warga tempatan dan dua warga Indonesia telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Tambahnya, jumlah keseluruhan sitaan mencecah RM265,986.48 dan nilai sitaan diesel sebanyak RM65,024.

-AA-

Tinggalkan komen anda