Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Darjah Satu Enam Tahun di Sekolah Seliaan JAIS Bermula 2027

By 24 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)/FB Amirudin Shari

SHAH ALAM, 24 April (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Selangor menetapkan kemasukan darjah satu pada usia enam tahun bagi sekolah di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bermula sesi persekolahan 2027.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata langkah itu selari dengan usaha penyelarasan sistem pendidikan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) serta memastikan akses awal kepada pembelajaran formal.

Menurut beliau, JAIS telah merangka pelbagai persiapan rapi bagi menghadapi peningkatan jumlah murid, khususnya melibatkan keperluan bilik darjah di sekolah agama negeri.

Katanya, antara langkah utama ialah merancang kapasiti bilik darjah dengan mengesan serta mengoptimumkan penggunaan ruang sedia ada di sekolah terlibat.

“Selain itu, JAIS turut bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor bagi menyelaras data murid serta mengenal pasti kawasan berpenduduk padat yang memerlukan perhatian khusus,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi di Dewan Negeri Selangor hari ini.

ADUN Sungai Tua itu berkata kerajaan negeri juga akan mengenal pasti keperluan penambahan guru bagi memastikan nisbah pengajaran kekal kondusif dan berkualiti.

Pada masa sama, JAIS turut mempertimbangkan pelaksanaan tiga sesi persekolahan berbanding dua sesi ketika ini sebagai langkah sementara menampung pertambahan murid.

“Langkah ini penting bagi memastikan semua murid mendapat tempat tanpa menjejaskan kualiti pembelajaran di sekolah agama,” katanya.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata penyediaan dan pembinaan infrastruktur tambahan termasuk penambahan bilik darjah akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keperluan semasa.

-RI

Tinggalkan komen anda