
Laporan/foto: Sumardi Sugiman (Limbang)
LIMBANG, 26 Apr (MalaysiaAktif) – Kerajaan perlu sentiasa mencari jalan untuk mendidik golongan belia agar bersedia menjadi pelapis kepimpinan negara pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata ia termasuk melalui pelaksanaan program-program yang berimpak dalam membina jati diri belia.
“Jati diri penting untuk pembangunan modal insan yang mampu berdaya saing dan mempunyai ketahanan fizikal serta mental dalam menghadapi cabaran semasa.
“Golongan belia pula harus memanfaatkan segala inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak mahupun badan bukan kerajaan (NGO) di Sarawak” katanya ketika merasmikan Program SAMAsedia Siri 1 Limbang 2026, di sini semalam.
Seramai 45 belia menyertai program tiga hari anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) itu yang bertujuan bagi memperkasa potensi diri dan membentuk kepimpinan generasi muda.
Sepanjang program, peserta didedahkan dengan pengisian pembangunan keyakinan diri, pencungkilan bakat serta pemantapan ilmu kepimpinan dan semangat patriotisme.
-RJ-





