Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Jambatan Batang Lupar 2 Pacu Mobiliti, Pertumbuhan Ekonomi Sri Aman–Betong

By 26 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)

SRI AMAN, 26 April (MalaysiaAktif) – Pembangunan Jambatan Batang Lupar 2 sepanjang 870 meter (m) bakal menjadi pemacu utama mobiliti dan pertumbuhan ekonomi antara wilayah Sri Aman dan Betong.

Projek bernilai RM236 juta di bawah Sarawak Second Trunk Road itu dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri sekali gus mencerminkan komitmen memperkasa pembangunan infrastruktur secara berdikari.

Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh berkata projek strategik tersebut membuktikan keupayaan Sarawak mengurus pembangunan domestik secara mampan dan berwibawa.

“Pembiayaan sepenuhnya menerusi dana domestik Kerajaan Negeri membuktikan keupayaan Sarawak mencorak pembangunan sendiri secara berwibawa,” katanya ketika ditemui media, di sini semalam.

Menurut Mahra, jambatan tersebut memendekkan masa perjalanan antara Sri Aman dan Betong daripada satu jam kepada kira-kira 20 minit.

Beliau menjelaskan pengurangan masa perjalanan itu bukan sahaja meningkatkan kecekapan malah menjamin keselamatan pengguna selari dengan aspirasi pembangunan negeri.

Temenggong Mohd Shah Acang, 68, pula menyifatkan infrastruktur tersebut sebagai nadi penting bagi usahawan tempatan di Sri Aman dan Lingga meluaskan pasaran produk.

“Jambatan ini menjadi nadi penting kepada usahawan tempatan untuk memperluas pasaran serta merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan ini,” katanya.

Dalam pada itu, pembangunan jalan sambungan Pakej B4 sepanjang 28 kilometer (km) dari Sri Aman ke Betong kini sedang giat dilaksanakan bagi melengkapkan rangkaian pengangkutan.

Keseluruhan projek rangkaian pengangkutan yang lebih efisien dan menyeluruh ini dijangka siap sepenuhnya pada suku kedua tahun ini.

-RJ-

Tinggalkan komen anda