
Laporan/foto: Asri Dalim (Lawas)
LAWAS, 26 April (MalaysiaAktif) – Penganjuran Program Mini Karnival Peduli Api di Esplanade Lawas semalam berjaya meningkatkan kesedaran komuniti terhadap kepentingan keselamatan dan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan.
Program yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 5 petang itu menjadi platform interaktif bagi penduduk memahami peranan agensi penyelamat serta risiko kebakaran dan kemalangan.
Salah satu tarikan utama ialah aktiviti Flying Fox setinggi 20 meter yang dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan pematuhan prosedur keselamatan ketat.
Pengunjung yang hanya ingin dikenali sebagai Midun, 47, berkata program seumpama itu wajar diteruskan kerana memberi pendedahan berguna kepada masyarakat tentang aspek keselamatan.
“Saya berasa teruja melihat program seperti ini diadakan kerana ia memberi pendedahan berguna tentang keselamatan dan kecemasan kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui di lokasi program, di sini semalam.
Menurut Midun, beliau berharap agar karnival tersebut dianjurkan dengan lebih kerap di daerah Lawas sebagai usaha berterusan memperkukuh kesiapsiagaan komuniti setempat.
Karnival tersebut turut menampilkan demonstrasi Road Traffic Accident (RTA) bagi memberi pendedahan mengenai situasi sebenar kemalangan jalan raya serta teknik menyelamat mangsa.
Orang ramai juga berpeluang mengenali peranan Pasukan Rapid Intervention Motorcycle (RIM) JBPM yang bertindak sebagai respon awal dalam situasi kecemasan.
Penganjuran aktiviti ini dilihat mampu meningkatkan tahap pengetahuan asas orang awam dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana atau kemalangan.
-RJ-





