
Laporan/foto: Amirul Miza (Kampar)
KAMPAR, 27 April (MalaysiaAktif) – Program Jelajah Sejahtera Desaku @ DUN Teja yang berlangsung selama dua hari di Akademi Kemahiran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Gopeng berjaya menarik perhatian penduduk setempat menerusi pelbagai pengisian kemasyarakatan dan kemahiran.
Program yang mendapat sambutan menggalakkan itu telah disempurnakan Pegawai Daerah Kampar Mohamad Kamil Mohamad Kasim.
Menurut Mohamad Kamil, beliau berharap inisiatif yang membawakan perkhidmatan agensi kerajaan secara terus kepada penduduk itu dapat memberikan manfaat yang signifikan.
“Program ini bukan sahaja memudahkan urusan rakyat, malah ia menjadi platform untuk mencungkil bakat komuniti luar bandar dalam bidang kemahiran yang ditawarkan,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan, di sini kelmarin.
Terdahulu pada 24 April, peserta telah mengikuti kursus kemahiran jangka pendek secara percuma yang meliputi kelas jahitan sarung bantal, jahitan beg tote serta solekan asas bagi memberi pendedahan potensi penjanaan pendapatan.
Program diteruskan pada hari kedua dengan pengisian aktiviti komuniti yang lebih padat merangkumi Jualan Rahmah, saringan kesihatan percuma, penukaran minyak hitam motosikal serta perkhidmatan gunting rambut secara percuma.
Selain itu, kemeriahan program turut diserikan dengan pertandingan memasak, pertandingan mewarna, sukan rakyat, pameran agensi kerajaan dan acara cabutan bertuah.
-AA-





