
Laporan/foto: Syaiful SAS (Rompin)/Pejabat DUN Muadzam Shah
MUADZAM SHAH, 29 April (MalaysiaAktif) – Penantian puluhan tahun para peneroka Felda Selancar 1, 4 dan 5 serta Gugusan Felda Keratong berakhir apabila seramai 463 peneroka menerima surat hakmilik masing-masing dalam Majlis Penyerahan Suratan Hakmilik di Dewan Semai Bakti Felda Selancar 4/5, kelmarin.
Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata penyerahan itu bukan sahaja memberi kepastian pemilikan kepada para peneroka, malah menjadi bukti bahawa kerajaan negeri sentiasa menghargai jasa dan pengorbanan mereka dalam membangunkan sektor pertanian serta ekonomi negeri.
“Kita mahu setiap peneroka menikmati hasil usaha mereka dengan lebih terjamin, sekali gus memastikan generasi seterusnya mempunyai masa depan yang lebih stabil,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut, di sini kelmarin.
Tambah beliau, penyerahan itu menjadikan jumlah keseluruhan peneroka di negeri Pahang yang telah menerima geran hakmilik seramai 42,802 orang iaitu 99 peratus daripada keseluruhan 43,126 peneroka di Pahang dan bakinya dijangka diselesaikan sepenuhnya pada tahun ini.
Pendekatan konsisten kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu hak milik ini membuktikan bahawa agenda membela rakyat bukan sekadar retorik, sebaliknya diterjemahkan melalui tindakan yang nyata dan berterusan.
-AA-





