Skip to main content
Berita TempatanSabah

Perahu Berhias Etnik Murut Tarikan Kaamatan Pagalungan

By 3 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mazlan Bakar/Sam Mansibu (Pagalungan)

PAGALUNGAN, 3 Mei (MalaysiaAktif) – Pertandingan perahu berhias yang memaparkan identiti etnik Murut menjadi tarikan utama Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Nabawan dan Daerah Kecil Pagalungan, di sini semalam.

Keunikan hiasan pada perahu tersebut menggunakan bahan kitar semula dengan gabungan elemen tradisional serta corak berwarna-warni yang mencerminkan khazanah budaya masyarakat setempat.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup berkata tradisi tersebut wajar dilestarikan memandangkan perahu merupakan identiti penting serta pengangkutan harian penduduk di kawasan berkenaan.

“Pesta Kaamatan bukan sahaja melambangkan kesyukuran atas hasil tuaian, malah menjadi medium terbaik untuk memelihara warisan budaya melalui perarakan perahu berhias ini,” katanya di sini, semalam.

Arthur dalam pada itu berkata menegaskan pembangunan infrastruktur di pedalaman terus menjadi agenda utama kerajaan bagi memastikan kesejahteraan penduduk luar bandar di Pagalungan.

Beliau berkata kemudahan jaringan jalan raya yang semakin baik serta peningkatan liputan Internet kini membolehkan program berskala besar dianjurkan dengan lebih mudah di kawasan tersebut.

Sementara itu, Ketua Daerah Kecil Pagalungan, Philiph Antugi berkata penganjuran pertandingan seumpama itu berpotensi menjadi produk pelancongan bernilai tinggi bagi menarik pelancong luar ke Sabah.

“Semangat kerjasama dan nilai tolong-menolong dalam mempersiapkan perahu berhias ini mampu memupuk keakraban serta melahirkan masyarakat yang harmoni,” katanya.

Menurut Philiph, penggunaan bahan terpakai dalam pertandingan tersebut turut bertujuan meningkatkan kesedaran komuniti mengenai kepentingan menjaga kebersihan sungai.

Dalam pertandingan tersebut, perahu berhias dari Kampung Kuala Tumalasak muncul sebagai juara manakala Kampung Silungai dinobatkan sebagai naib johan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda