
Laporan/foto: Aifaa Syafiq/Raja Ezani (Bentong)
BENTONG, 6 Mei (MalaysiaAktif) – Seramai 40 bekas tentera dan polis menerima Kad Kesihatan Kasih Makmur Negeri Pahang (Edisi Pahlawan) 2026 bagi meringankan beban kos rawatan kesihatan di klinik swasta yang dilantik.
Inisiatif khas kerajaan negeri ini menyasarkan golongan veteran tentera dan pesara polis sebagai menghargai jasa serta bakti mereka terhadap keselamatan negara.
Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata inisiatif tersebut membuktikan komitmen kerajaan dalam mengutamakan kesejahteraan rakyat melampaui kepentingan politik.
“Kerajaan negeri sentiasa memastikan kebajikan setiap rakyat Pahang terus diberikan perhatian melalui pelbagai bantuan bersasar dan inisiatif yang diperkenalkan dari semasa ke semasa.
“Kad Kesihatan Kasih Makmur Negeri Pahang (Edisi Pahlawan) ini adalah simbol penghormatan kita kepada mereka yang pernah berjuang demi keamanan yang kita nikmati hari ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kad Kesihatan Kasih Makmur Negeri Pahang Edisi Pahlawan di Klinik Perubatan Hijraa 24 Jam, di sini semalam.
Menurutnya lagi, setiap penerima akan menerima manfaat kad kesihatan bernilai RM500 seorang.
“Ia boleh digunakan untuk rawatan perubatan, pembelian ubat-ubatan, saringan kesihatan dan perkhidmatan di klinik swasta yang berdaftar dengan kerajaan negeri,” katanya.
-AA-





