Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Elaun Pasca Cuti Bersalin Perkasa Wanita, Kukuhkan Institusi Keluarga

By 6 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Norhafizah Abd Rahim (Terengganu)

MARANG, 6 Mei (MalaysiaAktif) – Kerajaan mengorak langkah baharu dengan memperkenalkan Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB), satu inisiatif yang dijangka mampu memperkasa wanita bekerja serta memastikan kebajikan ibu selepas bersalin terus terpelihara.

Diumumkan sempena sambutan Hari Pekerja 2026 pada 1 Mei lalu, EPCB kini berada di peringkat cadangan dasar dan sedang melalui penelitian menyeluruh termasuk aspek perundangan sebelum dilaksanakan secara rasmi.

Inisiatif ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam membantu golongan wanita kembali ke alam pekerjaan dengan lebih yakin dan stabil, bukan sahaja dari segi kewangan, malah emosi.

Ia juga berpotensi mengurangkan kadar wanita yang terpaksa meninggalkan kerjaya selepas melahirkan anak.

Kakitangan swasta, Nur Husnina Mohd Nasir, 22, berkata cadangan ini hadir tepat pada masanya, khususnya buat ibu muda yang masih di peringkat awal kerjaya.

“EPCB ini sangat membantu, terutama bagi wanita yang belum mempunyai simpanan kukuh. Sekurang-kurangnya ada sokongan kewangan tambahan selepas bersalin,” katanya ketika ditemui di Bukit Payung, di sini semalam.

Bagi Nur Ardina Taib, 26, beliau menyambut baik inisiatif tersebut yang disifatkan sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap peranan wanita dalam pembangunan negara.

“Apabila wanita berasa lebih terjamin, mereka lebih yakin untuk terus bekerja dan menyumbang kepada ekonomi. Ini juga secara tidak langsung membantu membina keluarga yang lebih stabil,” katanya.

Pengenalan EPCB selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kepentingan institusi keluarga sebagai asas kepada pembentukan negara yang maju dan sejahtera.

Secara keseluruhan, pelaksanaan EPCB dijangka membawa impak positif bukan sahaja kepada wanita bekerja, malah kepada kesejahteraan keluarga dan kemakmuran negara secara menyeluruh.

-RI

Tinggalkan komen anda