
Laporan/foto: Syamilah Yusman/Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 6 Mei (MalaysiaAktif) – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bakal menganjurkan Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2026 yang menjanjikan pengisian pelbagai aktiviti menarik, termasuk acara tumpuan Larian Bersama Bomba (LBB 2026).
Penguasa Kanan Bomba I JBPM Johor Azmi Ab Rahim berkata sambutan berkenaan bukan sekadar pameran biasa, sebaliknya menawarkan pengalaman menyeluruh yang merangkumi elemen pendidikan, hiburan serta interaksi langsung bersama anggota bomba.
Menurutnya, enam kluster utama disediakan iaitu Kluster Wira Merah, Kluster Minda Penyelamat, Kluster Daya Cipta, Kluster Komuniti Penyelamat, Kluster Legasi Penyelamat serta Kluster Bumi dan Kehidupan.
“Selain itu, pelbagai aktiviti kekeluargaan turut diadakan termasuk Treasure Hunt: Misi Mencari dan Menyelamat yang melibatkan empat Balai Bomba dan Penyelamat terpilih, Kelab Bomba Cilik, program Jom Belajar Renang serta aktiviti keselamatan.
“Program pendidikan seperti Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) dan penggunaan Defibrilator Luaran Automatik (AED) juga disediakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat,” katanya ketika ditemu bual dalam program Influencer@JAPEN Johor: Apa Cerita Ek?, di Studio CMS, di sini hari ini.
Mengulas mengenai tema tahun ini, Azmi berkata pemilihan tema Kita Bomba, Jubli Emas 50 Tahun membawa mesej yang sangat signifikan dalam sejarah jabatan.
“Tema ini menandakan genap 50 tahun penyatuan serta perjalanan JBPM sebagai sebuah organisasi yang berwibawa, dinamik, dan dihormati dalam melaksanakan tugas-tugas kebombaan dan penyelamatan di Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, JBPM mempelawa orang ramai untuk hadir beramai-ramai bagi memeriahkan sambutan tersebut, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai aspek keselamatan serta menghargai jasa anggota bomba dalam menjaga kesejahteraan negara.
-AA-





