
Laporan/foto: Florence Sebastian/KEMAS Saratok (Saratok)
SARATOK, 6 Mei (MalaysiaAktif) – Pejabat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Saratok menganjurkan Program Fit & Fun serta Pelancaran Kenyalang Warriors di Gelanggang Futsal Kampung Melayu Roban, di sini semalam.
Program melibatkan 96 pegawai serta kakitangan itu dilaksanakan selaras aspirasi KEMAS Sarawak untuk melahirkan anggota yang cergas, produktif dan berdaya tahan.
Pegawai KEMAS Daerah Saratok Latif Amit berkata inisiatif tersebut merupakan sokongan terhadap usaha peringkat negeri dalam membudayakan gaya hidup sihat sebagai sebahagian budaya kerja cemerlang.
“Kesihatan mental dan fizikal yang baik amat penting kerana ia menyumbang terus kepada kesejahteraan emosi pekerja sekali gus mewujudkan suasana kerja harmoni,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini semalam.
Menurut Latif, identiti Kenyalang Warriors merupakan jenama baharu yang melambangkan semangat perjuangan, kesetiaan serta komitmen warga jabatan itu dalam membangunkan masyarakat.
“Nama ini diilhamkan daripada burung kenyalang yang merupakan simbol kebanggaan Sarawak bagi menggambarkan warga KEMAS sebagai barisan hadapan yang berdedikasi memperkasa komuniti,” katanya.
Beliau menjelaskan konsep tersebut turut diterapkan dalam pendidikan awal kanak-kanak melalui program Little Kenyalang Warriors di taman bimbingan kanak-kanak (TABIKA) serta taman asuhan kanak-kanak (TASKA).
-RJ-





