
Laporan/foto: Salleh Immun (Mukah)
MUKAH, 7 Mei (MalaysiaAktif) – Pasar Tamu Mukah terus kekal sebagai nadi ekonomi penduduk setempat apabila menjadi tumpuan orang ramai untuk mendapatkan pelbagai keperluan harian seperti sayur-sayuran segar dan hasil tani pada harga berpatutan.
Kawasan berkenaan dipenuhi pengunjung seawal pagi setiap kali beroperasi selain menjadi ruang pertemuan masyarakat dalam suasana harmoni.
Peniaga Edward Lang, 37, berkata pasar tamu tersebut mempunyai tiga bahagian utama iaitu tapak hasil tani, tapak sayur-sayuran segar serta kawasan khas jualan buah-buahan.
“Kepelbagaian produk yang ditawarkan menjadikan pasar tamu ini pilihan utama pengguna kerana barangan segar boleh diperoleh di satu lokasi yang selesa,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini hari ini.
Menurut Edward, rata-rata peniaga menawarkan harga yang berbaloi selari dengan kualiti produk jualan bagi membantu pengguna mendapatkan keperluan harian.
Peniaga sayur-sayuran Mohd Adam Michael, 35, berkata kebanyakan hasil pertanian yang dijual merupakan tanaman yang diusahakan sendiri oleh penduduk kampung di sekitar Mukah.
“Keadaan ini secara tidak langsung membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat selain membuka peluang kepada pekebun kecil memasarkan hasil mereka terus kepada pengguna,” katanya.
Bagi peniaga buah-buahan Angeline Bana, 40, kemudahan yang disediakan di pasar berkenaan memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung untuk menjalankan urusan jual beli.
Angeline berkata tapak perniagaan yang disediakan oleh Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) serta kadar sewaan berpatutan juga ternyata amat membantu peniaga kecil sepertinya.
“Peniaga berpuas hati dengan usaha MDDM melaksanakan kerja penambahbaikan premis jualan demi memastikan keselesaan peniaga dan pengunjung terpelihara,” jelasnya.
-RJ-





