
Laporan/foto: Sumardi Sugiman/Randy Achang (Limbang)
LIMBANG, 10 Mei (MalaysiaAktif) – Sekolah Kebangsaan Tanjong memperkukuh pembentukan sahsiah, semangat patriotisme dan keselamatan digital murid menerusi Program Komunikasi Berkesan dan Penghayatan Rukun Negara serta Kempen Internet Selamat (KIS) yang melibatkan 165 murid dan guru sekolah tersebut, kelmarin.
Guru Besar SK Tanjong, Gawan Engong berkata program itu bertujuan membentuk murid yang berketrampilan, berdisiplin dan mampu berinteraksi secara positif dalam kehidupan harian.
“Komunikasi berkesan ialah asas penting untuk melahirkan murid sekolah rendah yang berketrampilan, berilmu dan berkemahiran insan yang tinggi,” katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan, di sini kelmarin.
Menurut Gawan, komunikasi terbuka membantu murid menyelesaikan masalah akademik dan peribadi selain mengurangkan konflik sesama rakan.
“Melalui komunikasi yang berkesan seperti bertutur dengan sopan ia membentuk karakter yang positif, budi pekerti yang tinggi dan disiplin dalam diri murid,” katanya.
Gawan turut menekankan penghayatan Rukun Negara penting dalam memupuk perpaduan kaum, menghormati kepelbagaian budaya serta membina jati diri murid sejak kecil.
“Aktiviti seperti ini memberi ruang dan peluang kepada murid daripada pelbagai kaum dapat belajar memahami dan menghormati satu sama lain sekali gus mengukuhkan integrasi nasional sejak awal,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengurus NADI Kampung Meritam, Muhammad Fadillah Sulaiman berkata program KIS memberi pendedahan awal kepada murid mengenai risiko penggunaan internet dan media sosial.
“Peserta juga dapat mengenal pasti tingkah laku buli siber dan cara yang betul untuk melapor kejadian tersebut,” katanya.
Antara pengisian program ialah ceramah komunikasi berkesan dan keselamatan siber, lafaz ikrar Rukun Negara, peragaan busana masyarakat pelbagai kaum, kuiz kenegaraan serta nyanyian lagu patriotik.
-RJ-





