
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 10 Mei (MalaysiaAktif) – Penguasaan literasi digital dalam kalangan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dilihat mampu memperkukuhkan komunikasi dua hala antara pemimpin dan masyarakat sekali gus meningkatkan keberkesanan penyampaian maklumat di peringkat akar umbi.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie berkata pemimpin masyarakat perlu sentiasa peka terhadap perkembangan teknologi semasa agar dapat memainkan peranan dengan lebih efektif dalam mengurus komuniti.
“Penggunaan platform digital kini menjadi medium penting dalam urusan komunikasi, penyampaian maklumat serta akses kepada pelbagai perkhidmatan kerajaan.
“Pemimpin masyarakat perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi supaya penyampaian maklumat dapat dilakukan dengan lebih cepat, tepat dan berkesan kepada rakyat,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penangguhan Bengkel Pemantapan IT KMKK Parlimen Sri Aman yang diadakan di sini, semalam.
Doris menjelaskan penguasaan asas teknologi maklumat (IT) juga dapat membantu KMKK meningkatkan kecekapan pengurusan komuniti selain memudahkan urusan pentadbiran dan penyelarasan program di peringkat setempat.
-RJ-





