
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 10 Mei (MalaysiaAktif) – Sarawak berada di landasan kukuh untuk muncul sebagai kuasa ekonomi baharu di rantau ASEAN susulan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan hasil kestabilan politik.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata prestasi ekonomi Sarawak menunjukkan perkembangan signifikan sehingga pendapatan tahunan negeri disifatkan menyamai pendapatan terkumpul Pulau Pinang bagi tempoh 15 tahun.
Sim berkata Sarawak kini giat mempelbagaikan sumber ekonomi melalui pembangunan sektor tenaga hijau, ekonomi digital, industri hiliran serta infrastruktur moden.
“Kerajaan Sarawak akan terus memberi penekanan kepada pembangunan sektor strategik termasuk kesihatan, pendidikan dan infrastruktur supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati rakyat secara menyeluruh,” katanya di sini semalam.
Menurut Sim, keyakinan pelabur asing bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri, malah memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelaburan strategik.
Dalam pada itu, Sim menyeru masyarakat pelbagai kaum agar terus memelihara perpaduan dan keharmonian yang menjadi kekuatan utama Sarawak dalam menarik pelaburan.
Sim turut menekankan kepentingan toleransi bagi memastikan kestabilan sosial negeri terus terpelihara demi kesejahteraan generasi akan datang.
-RJ-






