
Laporan/foto: Mastura Mohamed Rowther
GELUGOR, 13 Mei (MalaysiaAktif) – Majlis Daerah Seberang Perai Selatan melepaskan sebanyak empat tan abu al-Quran untuk dilupuskan, semalam.
Timbalan Pengarah Pengurusan Hospital Seberang Jaya Muhaili Mat Saad berkata kaedah itu sebagai usaha memuliakan proses pelupusan al-Quran usang mengikut syariat Islam.
“Program Pelepasan Abu al-Quran ke Laut ini dilaksanakan bertujuan memastikan naskhah al-Quran yang telah dibakar dan dijadikan abu sebelum dilupuskan dengan cara yang teratur, selamat serta menjaga kesucian kitab suci umat Islam.
“Program ini sangat penting dalam memberi kefahaman kepada semua terutamanya yang beragama islam mengenai kaedah pelupusan al-Quran yang betul. Ia bukan sahaja memenuhi tuntutan agama dalam menjaga kesucian al-Quran, malah mendidik semua masyarakat supaya lebih menghormati bahan-bahan bercetak yang mengandungi ayat suci al-Quran,” katanya kepada Malaysia Aktif.
Beliau turut memuji kerjasama erat antara institusi masjid, agensi keselamatan dan jabatan kerajaan dalam menjayakan program berkenaan.
Sementara itu, pihak penganjur memaklumkan bahawa program pelepasan abu al-Quran ke laut telah dilaksanakan secara konsisten setiap tahun bagi memastikan pelupusan dilakukan secara sistematik dan mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Majlis turut disertai Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Pulau Pinang Hasmiza Hussin, Pasukan Polis Marin Wilayah 1 serta beberapa wakil-wakil jabatan dan agensi yang berkaitan.
-RI





