
Laporan/foto: Syamilah Yusman/Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)
JOHOR BAHRU, 17 Mei (MalaysiaAktif) – Sebanyak RM17.97 juta telah disalurkan menerusi Program Penyenggaraan Perumahan (PPP) di Johor bagi setakat ini sejak 2023 melibatkan 57 projek penyelenggaraan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup penghuni Program Perumahan Rakyat (PPR).
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak RM1.91 juta diperuntukkan kepada PPR Desa Mutiara bagi pelaksanaan enam projek penyelenggaraan utama.
“Inisiatif ini merupakan langkah proaktif Kerajaan MADANI dalam menangani isu kritikal yang dihadapi penduduk meliputi aspek keselamatan, kebersihan dan keselesaan persekitaran kediaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Sinergi Kasih MADANI: Komuniti Lestari dan Selamat di PPR Desa Mutiara, di sini semalam.
Tambah beliau, penyaluran peruntukan penyelenggaraan itu membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkasa kesejahteraan rakyat khususnya penghuni PPR di seluruh negeri.
Menurutnya, pihak kementerian menerusi Jabatan Perumahan Negara (JPN) komited memastikan penyelenggaraan perumahan awam dilaksanakan secara berterusan dan sistematik.
“KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) sentiasa berusaha menangani isu keselamatan, kebersihan dan keselesaan penghuni secara serius. Saya berharap segala usaha ini dapat menjadikan PPR Desa Mutiara sebagai contoh komuniti yang lestari, selamat dan harmoni selaras dengan semangat Malaysia MADANI,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kerjasama erat antara KPKT, Kerajaan Negeri Johor dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor akan memastikan setiap peruntukan penyelenggaraan diterjemahkan kepada peningkatan kualiti hidup penduduk secara menyeluruh.
-AA-





