Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Lelaki Ditahan Disyaki Jalankan Judi Loteri Haram di Balingian

By 17 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto : Salleh Immun (Mukah)/IPD Mukah

MUKAH, 17 Mei (MalaysiaAktif) – Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun kerana disyaki menjalankan aktiviti perjudian loteri awam tanpa lesen dalam satu serbuan di kawasan Sungai Liku, Balingian, semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, tangkapan dilakukan kira-kira 4.30 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah hasil risikan serta pemantauan yang dijalankan pihak polis.

Beliau berkata serbuan dilakukan di sebuah kedai tidak bernombor yang dipercayai dijadikan lokasi menjalankan kegiatan perjudian haram.

“Hasil pemeriksaan di kaunter premis tersebut, pasukan polis telah menemui sebuah telefon pintar yang mengandungi aplikasi dipercayai digunakan untuk aktiviti jual beli loteri awam tanpa lesen,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, polis turut merampas beberapa barangan lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut termasuk sebuah mesin pencetak, sekeping kertas bercetak nombor empat angka, sebatang pen, sebuah kalkulator dan wang tunai berjumlah RM78.

Katanya, semua barang rampasan telah dibawa ke IPD Mukah untuk siasatan lanjut, dan hasil semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Bagaimanapun, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek didapati negatif dadah,” jelasnya.

Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menjalankan aktiviti perjudian loteri awam tanpa lesen. Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan denda antara RM20,000 hingga RM200,000 atau penjara sehingga lima tahun.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pihak polis akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan perjudian haram di daerah Mukah termasuk di kawasan luar bandar dan pekan kecil.

“Polis memandang serius sebarang bentuk kegiatan perjudian haram dan tidak akan berkompromi terhadap individu yang terlibat,” ujarnya.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan perjudian haram kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah tersebut serta memastikan ketenteraman dan kesejahteraan awam terus terpelihara.

-RJ-

Tinggalkan komen anda