Skip to main content
Berita TempatanSabah

Jaguh Wanita Ubah Persepsi Sukan Mipulos Di Kaamatan Penampang

By 17 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Norhafiezah Abd Aziz/Stephen Jipolin Jouti/Abang Taufik Abang Razali(Penampang)

PENAMPANG, 17 Mei (MalaysiaAktif)– Sukan tradisi Mipulos (gusti tangan) sempena Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang tahun ini menyaksikan peningkatan penyertaan wanita.

Kehadiran jaguh gusti tangan negara, Joyce Heng Shu Xia dalam kategori Woman Open menjadi tumpuan apabila beliau turun beraksi dan mengubah persepsi sukan berteraskan kekuatan fizikal itu hanya didominasi lelaki.

Atlet berpengalaman di peringkat kebangsaan dan antarabangsa itu turut menjadi inspirasi kepada peserta wanita lain untuk mencabar kemampuan diri dalam sukan tradisi berkenaan.

Ahli Jawatankuasa Penyelaras Sukan Mipulos, Nesurey Petrus Lojuyo berkata, penyertaan atlet wanita memberi suntikan baharu kepada pembangunan sukan itu khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Perkembangan tersebut membuka ruang lebih luas kepada wanita untuk menyerlah dalam sukan tradisi yang sebelum ini lebih sinonim dengan penyertaan lelaki.

“Penyertaan wanita semakin mendapat perhatian dan ini perkembangan positif. Kita berharap lebih ramai wanita tampil menyertai Mipulos pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui di Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang, pada Sabtu.

Beliau yang juga pemenang sukan Mipulos peringkat antarabangsa 2019 berkata, sukan tradisi seperti Mipulos wajar diperkasakan kerana ia bukan sahaja memelihara warisan budaya, malah mampu berkembang seiring perubahan semasa tanpa kehilangan identiti asal.

-RJ-

Tinggalkan komen anda