
Laporan/foto : Iswandi Kassim (Sri Aman)
SIMANGGANG, 18 Mei (MalaysiaAktif) – Penganjuran Bazaar Gawai Sri Aman 2026 disifatkan bukan sekadar platform untuk mempromosikan warisan tempatan, malah cerminan kepada semangat asimilasi budaya dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di bahagian ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata program berteraskan kebudayaan sedemikian memainkan peranan signifikan dalam memperkukuh perpaduan sosial menerusi penglibatan aktif komuniti tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
“Kekuatan utama Sarawak terletak pada keunikan rakyatnya yang mampu hidup dalam suasana saling menghormati di samping meraikan kepelbagaian yang wujud.
“Bazaar ini bukan sekadar ruang jualan atau sambutan perayaan semata-mata. Ia merupakan simbol kebersamaan masyarakat yang berkongsi warisan, budaya, dan nilai keharmonian dalam kehidupan seharian,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika merasmikan upacara pembukaan kaunter program tersebut di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Harden menegaskan bahawa pendekatan strategik yang menggabungkan elemen kebudayaan, pelancongan, dan ekonomi komuniti itu perlu dipertahankan demi generasi muda.
Beliaut turut menaruh harapan agar Bazaar Gawai Sri Aman dapat diangkat sebagai acara berprestij yang mampu memperkasa imej daerah tersebut sebagai simbol perpaduan dan kekayaan identiti budaya.
Bazaar anjuran Kelab Ngepan Sri Aman itu menghimpunkan sebanyak 70 gerai jualan yang menawarkan pelbagai produk tempatan termasuk kraftangan, pakaian tradisional seperti Ngepan Dayak, serta aneka makanan dan kuih-muih pelbagai etnik.
-RJ-





