Skip to main content
Berita TempatanSabah

Guru Muda Dinobat Juara Unduk Ngadau Program Satelit Khas Kenduri Rakyat MADANI 2026

By 18 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sunday Grace Justimus/Mohd Sazwan Roslan (Telipok)

TELIPOK, 18 Mei (MalaysiaAktif) – Guru Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Sacred Heart Kota Kinabalu dinobatkan Juara Unduk Ngadau sempena Program Satelit Khas Kenduri Rakyat MADANI 2026 Santuni Kampung Talungan, Telipok baru-baru ini.

Berkongsi mengenai persediaannya, Alice Sandra Albert, 24, mengakui jadual tugas sebagai guru agak padat bagaimanapun hasil dorongan keluarga dan rakan-rakan memberinya semangat untuk menghantar penyertaannya seminggu sebelum pertandingan berlangsung.

Jelasnya, sebelum pertandingan beliau memberi tumpuan sepenuhnya kepada teknik pengucapan awam dalam bahasa Kadazan Dusun selain mempelajari warisan kebudayaan etnik berkenaan sebagai persediaan.

“Saya percaya penguasaan bahasa ibunda serta pemahaman terhadap adat dan tradisi masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) membantu diri saya lebih bersedia untuk berada di pentas Unduk Ngadau. Saya belajar mengenali budaya sendiri sedikit demi sedikit termasuk bertutur dalam bahasa Dusun sehingga kini lebih yakin untuk menggunakannya.

“Dalam kesempatan ini saya ingin mengajak generasi muda khususnya masyarakat KDMR agar terus menghargai warisan budaya dan tidak malu mempelajari bahasa ibunda sendiri. Budaya kita mempunyai banyak keindahan dan keunikan yang perlu dipelhira supaya terus diwarisi generasi akan datang,” katanya selepas pertandingan berkenaan di Kampung Talungan di sini, kelmarin.

Guru Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) daripada Kampung Talungan Telipok itu berjaya menewaskan lapan peserta dan membawa pulang hadiah berupa sijil, trofi dan tawaran khas melanjutkan pengajian ke City University dengan biasiswa tajaan Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mustapha Sakmud bernilai RM10,000.
-FN

Tinggalkan komen anda