
Laporan/foto: Siti Yusmila/KEDA (Sik)
SIK, 19 Mei (MalaysiaAktif) – Seramai 61 penduduk Desa KEDA di daerah Sik menerima geran tanah masing-masing dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung di Dewan Desa KEDA Sungai Semiar, di sini semalam.
Geran tanah tersebut disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Dato’ Seri Diraja Mahdzir Khalid sebagai usaha memperkukuh pemilikan tanah dalam kalangan penduduk serta meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.
Dalam ucapannya, Mahdzir, berkata penyerahan geran tanah itu membuktikan komitmen KEDA dalam membantu rakyat, khususnya penduduk luar bandar, mendapatkan hak milik tanah yang sah dan teratur.
“Semoga semua penerima geran dapat memanfaatkan pemilikan tersebut dengan sebaiknya demi masa depan keluarga dan pembangunan kawasan Desa KEDA di daerah ini,” katanya.
Majlis berkenaan turut dihadiri Pengurus Besar KEDA Afifah Omar dan Penasihat Program dan Aktiviti KEDA Parlimen Sik Muhamad Khizri Abu Kasim.
Sementara itu, seorang penerima, Asri Hasan, 62, menzahirkan rasa syukur selepas hampir 27 tahun menanti untuk memiliki geran tanah tersebut.
“Bersyukur kerana selepas pelbagai usaha dilakukan, akhirnya penantian hampir 27 tahun berakhir apabila penduduk menerima geran tanah,” katanya.
Kesemua penerima terdiri daripada 48 penduduk Desa KEDA Sungai Semiar, 4 penduduk Desa KEDA Telaga Batu, 3 penduduk Desa KEDA Sungai Senam dan 6 penduduk Desa KEDA Bendang Man.
-RI





