
Laporan/foto: Salleh Immun (Mukah)/IPD Mukah
MUKAH, 22 Mei (MalaysiaAktif) – Polis menahan sepasang kekasih warga asing serta merampas dadah disyaki jenis syabu bernilai RM1,700 dalam serbuan di sebuah bilik hotel di bandar Mukah awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Mukah Muhamad Rizal Alias berkata kedua-dua suspek berusia 29 dan 36 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah.
Beliau menjelaskan tangkapan dilakukan hasil risikan serta pemantauan berterusan pihak polis terhadap kegiatan pengedaran dadah di sekitar kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan dalam serbuan kira-kira jam 1 pagi itu membawa kepada penemuan 40 keratan tiub straw lut sinar dan sembilan paket plastik mengandungi ketulan kristal disyaki methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Rizal memberitahu keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan seberat 33.54 gram berdasarkan pemeriksaan fizikal awal yang dijalankan.
Menurut beliau, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM932 yang dipercayai merupakan hasil daripada aktiviti jualan barangan larangan tersebut.
Kedua-dua suspek dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut namun hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka negatif daripada sebarang pengaruh dadah.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan dan sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.
Muhamad Rizal memaklumkan kertas siasatan turut dibuka di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 terhadap suspek lelaki kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.
Beliau menambah suspek lelaki yang bekerja sebagai buruh bersama teman wanitanya kini direman selama tujuh hari sehingga 29 Mei depan bagi membantu siasatan lanjut.
Pihak polis menegaskan IPD Mukah akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan pengedaran demi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat setempat sentiasa terpelihara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah diminta menyalurkan maklumat menerusi talian Hotline IPD Mukah di 084-871222 atau hadir ke balai polis berhampiran.
-RJ-





