Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Majlis Sejambak Kasih Ringankan Beban Penerima Bantuan Sambut Hari Gawai

By 23 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Nor Hidayah Ismail (Meradong)

BINTANGOR, 23 Mei (MalaysiaAktif) – Majlis Sejambak Kasih Hari Gawai Bahagian Sarikei Tahun 2026 anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak berjaya meringankan beban golongan memerlukan dalam membuat persiapan menyambut Hari Gawai yang bakal tiba.

Program tahunan yang berlangsung semalam telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing di Dewan Masyarakat Bintangor.

Timbalan Pengarah Kebajikan Masyarakat Sarawak, Norhayati Abdul Rahman berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja membantu penerima dari segi kewangan, malah memberi kegembiraan kepada mereka untuk meraikan Hari Gawai bersama keluarga dan komuniti.

“Program seperti ini mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan golongan memerlukan turut dapat menyambut perayaan dengan lebih bermakna bersama keluarga dan masyarakat,” katanya.

Seramai 100 penerima bantuan dari daerah Meradong menerima wang sumbangan dan hamper perayaan pada majlis tersebut, mewakili lima peratus daripada keseluruhan 1,936 penerima bantuan yang meraikan Hari Gawai di Bahagian Sarikei.

“Bagi penerima yang tidak hadir, bantuan akan dikreditkan terus ke akaun masing-masing bagi memastikan mereka tetap menerima manfaat yang disediakan,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, JKM turut menyeru penerima bantuan yang masih produktif agar berusaha berdikari menerusi pelbagai inisiatif disediakan seperti Geran Pelancaran bernilai RM5,000 dan Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK).

Menurut Norhayati, usaha itu bertujuan meningkatkan taraf kehidupan penerima bantuan ke arah melahirkan tenaga kerja mahir berpendapatan tinggi.

Dalam majlis sama, turut diadakan simbolik penyerahan Kad Orang Kurang Upaya (OKU), Kad Senior Citizen Health Benefit (SCHB) serta Bantuan Ihsan Kematian sebagai sebahagian usaha JKM menyokong golongan yang memerlukan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda