
Laporan/Foto: Barina Nani/Wirwan Nor Rama Maliana (Sarawak)
KUCHING, 23 Mei (MalaysiaAktif) – Kementerian Komunikasi menerusi MCMC terus mempergiat pelaksanaan Kempen Internet Selamat bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya kanak-kanak, ibu bapa dan penjaga mengenai risiko jenayah siber.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kempen ini memberi fokus kepada usaha melindungi kanak-kanak daripada kandungan memudaratkan, meningkatkan kesedaran golongan belia terhadap risiko dalam talian serta memastikan komuniti, termasuk warga emas, tidak mudah terdedah kepada penipuan siber.
“Di Sarawak, kempen ini mencatat penyertaan seramai 114,608 peserta daripada institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
“Bagi daerah Kuching dan kawasan sekitarnya sahaja, seramai 26,616 peserta terlibat secara aktif dalam kempen ini,” katanya ketika menyempurnakan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat Peringkat Daerah Kuching di sini, semalam.
Dalam pada itu, Nie Ching turut menjelaskan trend kes penipuan dalam talian menunjukkan peningkatan yang membimbangkan apabila sebanyak 23,367 kes penipuan dalam talian dilaporkan melibatkan kerugian RM680.3 juta bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini.
Beliau memberitahu, ancaman tersebut bukan sahaja melibatkan kerugian kewangan, malah turut merangkumi penyebaran kandungan negatif di media sosial seperti buli siber, kandungan jelik, perjudian dan berita palsu.
“Isu buli siber dan gangguan dalam talian kini berada pada tahap kritikal apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima sebanyak 59,290 permohonan tindakan dari tahun 2022 hingga April 2026.
“Sebanyak 44,676 daripadanya telah diturunkan oleh platform demi melindungi emosi dan keselamatan pengguna,” katanya.
Karnival yang berlangsung sehari itu turut diisi dengan sesi ceramah Kempen Internet Selamat oleh MCMC, ceramah Trend Jenayah Penipuan Siber dan Tindakan Penguatkuasaan oleh PDRM serta ceramah Jenayah Scam Digital: Tanggungjawab Pengguna dalam Melindungi Kewangan oleh Bank Negara Malaysia.
-RJ-





