Skip to main content
Berita TempatanSarawak

65 Petugas Kesihatan Sertai Program Heart Failure Update 2026

By 23 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sumardi Sugiman/Muhamad Rizal Sabtu (Limbang)

LIMBANG, 23 Mei (MalaysiaAktif) – Seramai 65 peserta merangkumi pakar perubatan, doktor dan jururawat dari seluruh Bahagian Limbang menyertai Program Heart Failure Update 2026 Limbang Division hari ini.

Program anjuran Hospital Limbang menerusi Jabatan Perubatan Am itu berlangsung dengan jayanya di Mini Auditorium Pusat Kecemerlangan Pendidikan (PKP) Daerah Limbang.

Inisiatif di bawah pimpinan Chong Wun Khang tersebut bertujuan meningkatkan pengetahuan serta kompetensi petugas dalam rawatan dan pengurusan pesakit kegagalan jantung.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dr Abdul Rahman Ismail berkata penyakit jantung merupakan antara cabaran utama yang memerlukan pendekatan rawatan berterusan.

“Program seperti ini membolehkan petugas kesihatan tempatan sentiasa mengikuti perkembangan terkini dalam rawatan dan pengurusan pesakit,” katanya.

Abdul Rahman menjelaskan perkongsian ilmu daripada pakar berpengalaman akan meningkatkan keyakinan petugas dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Beliau turut menyifatkan kejayaan penganjuran program tersebut sebagai hasil kerjasama erat pelbagai pihak dalam memperkukuh sistem penjagaan kesihatan di Bahagian Limbang.

“Kita berharap program ini dapat memberi manfaat besar kepada semua peserta serta meningkatkan mutu penjagaan pesakit di Limbang,” katanya.

Menurut beliau, kolaborasi strategik antara hospital, agensi kerajaan dan komuniti perlu diteruskan demi kelangsungan mutu perkhidmatan perubatan luar bandar.

Langkah pemerkasaan latihan kepakaran ini dijangka mampu mengurangkan kebergantungan rujukan kes kritikal ke hospital pakar di luar kawasan pada masa hadapan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda