Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Belaga Terima Peruntukan RM80,000 Perkasa Pendidikan dan Kesedaran Sosial

By 13 Jun 2026Jun 15th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Evelyn Lungan (Belaga)

BELAGA, 13 Jun (MalaysiaAktif) – Sokongan terhadap pembangunan pendidikan dan komuniti di Belaga terus diperkukuh apabila sejumlah RM80,000 disalurkan kepada dua penerima utama menerusi Program Forum Kesedaran Sosial Komuniti Belaga di Dewan Sri Jayong, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belaga, hari ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM50,000 diperuntukkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Belaga, manakala RM30,000 disalurkan kepada Persatuan Bangsa Sekapan Belaga (PBSB) bagi menyokong pelaksanaan pelbagai program pendidikan dan komuniti.

Sumbangan berkenaan diumumkan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Datuk Liwan Lagang semasa merasmikan program berkenaan.

Sementara itu, Liwan berkata pembentukan generasi muda yang berdaya tahan, berilmu dan berakhlak merupakan tanggungjawab bersama pelbagai pihak termasuk ibu bapa, sekolah, agensi kerajaan dan komuniti setempat.

“Penganjuran forum ini menjadi langkah proaktif dalam memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai ancaman sosial yang semakin kompleks, termasuk penipuan dalam talian, judi dalam talian serta pengaruh negatif media sosial.

“Musuh pada masa kini tidak lagi datang secara fizikal, sebaliknya hadir secara halus dan kadangkala berselindung di sebalik perkara yang kelihatan baik. Oleh itu, masyarakat perlu sentiasa bersedia dan memperkukuh ilmu serta kesedaran bagi menghadapi cabaran semasa,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda