Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

DBKL Perkukuh Ekosistem Rekreasi Kuala Lumpur Bersama Komuniti Pelari

By 19 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohammad Hafizee (Kuala Lumpur)/DBKL

KUALA LUMPUR, 13 Jun (MalaysiaAktif) – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini menganjurkan Sesi Townhall bersama komuniti pelari dan pengurus acara larian sekitar ibu negara serta Lembah Klang bagi mendapatkan pandangan serta cadangan dalam memperkukuh ekosistem aktiviti larian dan rekreasi di Kuala Lumpur.

Sesi dialog interaktif itu dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud.

“Kuala Lumpur perlu berkembang seiring dengan aspirasi warga kota yang dinamik dan aktif. Sesi townhall hari ini membuktikan komitmen kerajaan dalam mendengar suara komuniti akar umbi, terutamanya para pelari dan penganjur acara yang menghidupkan bandar raya kita.

“Fokus utama kita adalah memastikan aspek keselamatan laluan larian, kebolehcapaian kemudahan infrastruktur, serta keberkesanan penganjuran acara sukan ini dipertingkatkan, sama ada untuk aktiviti siang mahupun malam. Kita mahu menjadikan Kuala Lumpur sebuah ibu negara yang bukan sahaja maju secara ekonomi, malah mesra rekreasi, selamat, dan berdaya huni selaras dengan gagasan Malaysia MADANI,” katanya.

Sesi townhall berkenaan turut menjadi platform membincangkan beberapa perkara penting termasuk keselamatan laluan larian, kesesuaian infrastruktur awam serta kaedah penambahbaikan penganjuran acara bagi mengurangkan gangguan trafik.

Selain itu, DBKL turut meneruskan komitmen menggalakkan aktiviti rekreasi melalui program mingguan KL Car Free Morning yang berlangsung setiap Ahad sebagai platform penggunaan ruang awam secara inklusif serta menggalakkan interaksi sosial dalam kalangan warga kota.

Menerusi kerjasama erat antara agensi kerajaan, pengurus acara, dan kelab-kelab rekreasi, usaha berterusan ini diyakini mampu mentransformasikan Kuala Lumpur menjadi sebuah bandar raya contoh yang menitikberatkan kesejahteraan fizikal dan mental populasinya.

-AA-

Tinggalkan komen anda