Skip to main content
Berita TempatanSarawak

1,000 Peserta Sertai Niti Daun Gawai Dayak, Kukuh Perpaduan Kaum

By 18 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rick Anderson Rini (Simunjan)/JAPEN

SIMUNJAN, 13 Jun (MalaysiaAktif) – Program Niti Daun Gawai Dayak Edisi Ke-2 Daerah Simunjan 2026 berlangsung meriah dengan penyertaan kira-kira 1,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat, hari ini.

Penganjuran aktiviti ini menjadi platform berkesan dalam memperkukuh perpaduan serta memartabatkan warisan budaya masyarakat Dayak sempena sambutan Hari Gawai Dayak.

 Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee menyatakan program seumpama itu bukan sekadar medan meraikan perayaan, malah berperanan penting dalam memupuk semangat muhibah dan mengeratkan silaturahim.

“Program Niti Daun Gawai Dayak bukan sahaja menjadi platform untuk meraikan perayaan Gawai, malah berperanan sebagai medium penting dalam memupuk perpaduan, memperkukuh hubungan silaturahim dan memastikan warisan budaya masyarakat Dayak terus dipelihara serta diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya semasa merasmikan program tersebut.

Acara kemuncak program menyaksikan perarakan kebudayaan yang bermula dari Padang Sentral Simunjan sebelum mengelilingi pekan berkenaan dan berakhir di Dewan Mesra Simunjan.

Sebanyak 30 kontinjen mengambil bahagian dengan menampilkan busana tradisional berwarna-warni sambil memperagakan keunikan budaya masing-masing.

Selain perarakan, program turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti kebudayaan dan persembahan tradisional yang menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum dalam suasana harmoni.

Rodiyah menjelaskan penganjuran program seumpama itu wajar diteruskan kerana mampu memperkenalkan keunikan budaya tempatan kepada generasi muda di samping mengukuhkan integrasi nasional.

“Warisan budaya yang diwarisi turun-temurun perlu terus dipelihara dan dihargai kerana ia merupakan khazanah berharga yang mencerminkan identiti serta jati diri rakyat Sarawak,” ujarnya.

Penganjuran edisi kedua ini nyata berjaya mencapai matlamatnya sebagai platform penyatuan masyarakat serta medan meningkatkan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan negeri.

-RJ-

Tinggalkan komen anda