Skip to main content
Berita TempatanSarawak

RM300,000 Geran Projek Khas Perkasa Pembangunan Komuniti

By 18 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun/Ikhwan Mostapa (Mukah)

MUKAH, 13 Jun (MalaysiaAktif) – Sebanyak RM300,000 diperuntukkan menerusi Geran Peruntukan Projek Khas Tahun 2026 kepada 32 penerima yang terdiri daripada pelbagai organisasi masyarakat di daerah ini.

Penerima geran tersebut melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), masjid, surau serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Hanifah Hajar Taib menyifatkan peruntukan itu sebagai usaha berterusan dalam menyokong pelaksanaan pelbagai program yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.

Bantuan yang disalurkan mencerminkan komitmen untuk memastikan pembangunan modal insan dilaksanakan secara menyeluruh dan inklusif melalui sokongan kepada organisasi akar umbi.

“Saya percaya setiap organisasi yang menerima bantuan ini mempunyai peranan besar dalam memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya ketika menyempurnakan majlis penyerahan geran tersebut hari ini.

Beliau menyatakan sumbangan yang diberikan oleh institusi berkenaan amat penting dalam membantu usaha membangunkan komuniti yang lebih progresif dan harmoni.

Hanifah berharap pihak pengurusan yang menerima bantuan dapat memanfaatkan peruntukan tersebut dengan sebaik mungkin bagi memperkukuh program pendidikan.

“Gunakanlah bantuan ini untuk memperkukuhkan program pendidikan, meningkatkan pencapaian akademik dan membentuk sahsiah pelajar yang cemerlang kerana pendidikan adalah asas kepada kemajuan sesebuah masyarakat,” ujarnya.

Pihak pengurusan rumah ibadah juga diingatkan agar menggunakan peruntukan yang diterima untuk memperkasakan aktiviti keagamaan serta memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

NGO dan JKKK dalam masa sama disaran memanfaatkan bantuan tersebut bagi melaksanakan program yang memberi impak positif kepada komuniti setempat.

Setiap geran yang disalurkan perlu diurus secara amanah, telus dan berhemah supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh lebih ramai penduduk.

Hanifah turut memaklumkan mengenai penganjuran Program Niti Daun yang dijadual berlangsung pada 20 Jun ini bagi memupuk keharmonian komuniti.

-RJ-

Tinggalkan komen anda