Skip to main content
Rencana & Pendapat

Memanah Bukan Sekadar Uji Ketepatan, Perlu Ketenangan dan Penguasaan Teknik

By 6 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Robani Nabi Ahmad (Pasir Mas)

PASIR MAS, 16 Jun (MalaysiaAktif) – Sukan memanah bukan sekadar menguji ketepatan, malah memerlukan disiplin tinggi, ketenangan jiwa dan penguasaan teknik yang betul, kata Timbalan Presiden Persatuan Memanah Tradisional Kelantan Marzukieakie Muhammad Yusoff.

Beliau berkata terdapat beberapa aspek penting yang perlu diberi perhatian oleh setiap pemanah iaitu faktor keselamatan, cara berdiri yang betul, teknik menarik tali busur, fokus terhadap sasaran dan kaedah pelepasan anak panah.

“Kesilapan kecil dalam teknik boleh mempengaruhi ketepatan tembakan. Oleh itu, setiap pemanah perlu sentiasa menitikberatkan aspek asas sebelum meningkatkan kemahiran mereka,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini baru-baru ini.

Minat yang mendalam terhadap sukan memanah turut mendorong Marzukieakie, 60, menjadikan sebahagian kediamannya di Kampung Kubang Terap, Pasir Mas sebagai galeri memanah yang unik dan penuh nilai sejarah.

Galeri tersebut menempatkan lebih 10 buah busur pelbagai jenis dan kegunaan, selain menjadi lokasi penyimpanan lebih 50 pingat yang berjaya diraih menerusi pelbagai kejohanan sejak beliau mula aktif dalam sukan memanah pada tahun 2021.

Menurut beliau, galeri tersebut turut mempamerkan busur tradisional, busur biasa dan busur laminated, selain memberi pendedahan mengenai empat komponen utama busur iaitu limb (lengan/bilah), riser (pemegang), string (tali busur) dan aksesori sokongan.

“Antara koleksi paling bernilai ialah busur laminated seberat 30 paun yang banyak menyumbang kepada kejayaannya dalam pertandingan, sekali gus menjadi simbol perjalanan saya dalam dunia memanah.

“Dari segi harga, busur asas bermula sekitar RM200, manakala busur laminated berkualiti tinggi boleh mencecah ribuan ringgit,” katanya.

Kewujudan galeri ini bukan sahaja menjadi medium perkongsian ilmu, malah mampu menarik minat generasi muda mendekati sukan sunnah secara berdisiplin dan berfokus.

-RI

Tinggalkan komen anda