Skip to main content
Rencana & Pendapat

Kolej Sultan Abdul Hamid Lambang Kecemerlangan Pendidikan Kedah Lebih Satu Abad

By 55 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zulkarnain Rodzi (Kedah)/Institusi Pendidikan Di Negeri Kedah

ALOR SETAR, 16 Jun (MalaysiaAktif) – Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) yang diasaskan pada 8 Disember 1908 sebagai Government English School (GES) terus menjadi antara institusi pendidikan paling bersejarah dan berprestij di negara ini.

Ia kekal memainkan peranan penting dalam melahirkan ramai tokoh kepimpinan dan profesional negara sepanjang lebih 100 tahun penubuhannya.

KSAH ditubuhkan sebagai sekolah aliran Inggeris pertama di negeri Kedah dengan operasi awalnya di sebuah bangunan kayu berhampiran Balai Nobat di pusat bandar Alor Setar.

Ketika mula dibuka, sekolah tersebut mempunyai kira-kira 50 orang pelajar dan menjadi antara pemangkin kepada perkembangan sistem pendidikan moden di negeri itu.

Seiring pertambahan bilangan pelajar dan keperluan pendidikan, sekolah berkenaan telah berpindah ke Jalan Penjara Lama pada tahun 1911 sebelum beroperasi di tapak kekalnya di Jalan Langgar pada tahun 1917.

Pada tahun 1935, nama Government English School ditukar kepada Kolej Sultan Abdul Hamid sebagai penghormatan kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Institusi yang lebih dikenali sebagai ‘Kolej’ dalam kalangan masyarakat Kedah itu mengangkat moto “Scholar, Sportsman, Gentleman” sebagai teras pembentukan sahsiah dan kecemerlangan akademik pelajarnya.

Aspirasi tersebut terus diperkukuh menerusi pelbagai aktiviti pembangunan intelektual, kokurikulum dan kepimpinan yang menjadi identiti sekolah berkenaan.

Selain kecemerlangan dalam bidang pendidikan, KSAH turut mencatat sejarah apabila melahirkan ramai tokoh terkenal negara, termasuk Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri keempat dan ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta Sultan Kedah, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Pengiktirafan sebagai Sekolah Premier Negeri Kedah pada tahun 1999 dan sambutan ulang tahun penubuhan ke-100 pada tahun 2008 membuktikan komitmen berterusan institusi itu dalam mengekalkan legasi kecemerlangan pendidikan serta warisan sejarah negeri.

Kewujudan Kolej Sultan Abdul Hamid bukan sahaja mencerminkan perkembangan sistem pendidikan di Kedah, malah menjadi simbol kepada pembinaan modal insan berkualiti yang terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

-RI

Tinggalkan komen anda