
Laporan/foto: Izarina KMI/Juhaisa Azrin (Raub)
RAUB, 27 Jun (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Derma Darah Sedunia 2026 di Tabung Darah Hospital Raub, di sini semalam menjadi wadah meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa setiap sumbangan darah yang diberikan mampu memberi harapan kepada pesakit yang memerlukan, selain menghargai pengorbanan para penderma yang tampil membantu menyelamatkan nyawa.
Program bertemakan One Drop of Humanity. Give Blood. Save Live. itu berjaya menarik penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk penjawat awam, kakitangan swasta, pelajar dan penduduk setempat yang hadir untuk menderma darah secara sukarela.
Seorang penderma darah kali pertama, Siti Aisyah Baharuddin, 38 tahun, berkata beliau pada awalnya berasa berdebar untuk menjalani proses derma darah, namun gembira kerana berjaya menyumbang kepada mereka yang memerlukan.
“Saya agak berdebar kerana ini merupakan kali pertama saya menderma darah, tetapi pengalaman yang diterima sangat baik dan saya berharap dapat terus menjadi penderma pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jururawat Wan Nadia Heneem Wan Hamad, 40 tahun, yang telah menderma darah sebanyak 31 kali, berkata usaha menderma darah merupakan satu amalan murni yang wajar diteruskan oleh masyarakat.
“Setiap beg darah yang didermakan mampu membantu menyelamatkan nyawa pesakit. Saya berharap lebih ramai individu tampil menderma darah secara berkala bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi,” katanya.
Penganjuran Sambutan Hari Derma Darah Sedunia 2026 ini diharap dapat terus menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat serta menggalakkan lebih ramai individu tampil sebagai penderma darah tetap demi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi untuk mereka yang memerlukan.
-AA-




