
Oleh Diyana Zamri
SEPANG, 12 Julai (Malaysiaaktif) – Suasana suram menyelubungi Kompleks Bunga Raya, KLIA sempena ulang tahun pertama tragedi MH17. Pejam celik, 12 bulan sudah berlalu sejak tragedi pesawat MH17 ditembak jatuh di Ukraine.
Lebih 1000 jemputan memenuhi kompleks tersebut yang terdiri daripada menteri-menteri Kabinet, waris dan ahli keluarga mangsa nahas, wakil-wakil Kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, duta dan Pesuruhjaya Tinggi Asing ke Malaysia, pihak pengurusan tertinggi MAS dan kakitangan serta pemimpin agama.

Antara Keluarga mangsa tragedi MH 17 menahan sebak di majlis Memperingati Tragedi MH 17 di Kompleks Bunga Raya.
Sejumlah 298 orang, termasuk 15 orang anak kapal terkorban dalam nahas tersebut, 43 darinya rakyat Malaysia, berserta dua orang bayi.
Dalam ucapannya kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata walaupun 12 bulan sudah berlalu, majlis yang diadakan kelmarin adalah sebagai tanda bahawa mereka yang terkorban tidak pernah luntur daripada ingatan rakyat Malaysia.
Najib turut mengucapkan berterima kasih kepada pasukan-pasukan petugas yang telah bertungkus-lumus sejak awal berita tragedi ini diumumkan.
Upacara Memperingati Tragedi MH17 turut mempertontonkan imbasan detik-detik nahas pesawat MH17 yang membuat ramai tetamu bergenang air mata. Majlis turut melaksanakan sesi bertafakur selama seminit, simbolik penghormatan kepada mangsa-mangsa tragedi MH17.