Skip to main content
GlobalHomeViral

MH17: PBB Digesa Bawa Pihak Bertanggungjawab ke Pengadilan

By 12 Julai 2015Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Diyana Zamri

SEPANG, 11 Julai (Malaysiaaktif) – Satu pelan resolusi hasil kerjasama antara kerajaan Malaysia, Australia, Belanda, Belgium serta Ukraine telah diusulkan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menggesa tribunal antarabangsa membawa pihak bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17 ke muka pengadilan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata demikian ketika berucap di Kompleks Bunga Raya sempena Upacara Memperingati Tragedi MH17 pada Sabtu.

Proses pelaksanaan undian usul resolusi dan tribunal jenayah tersebut akan dilakukan oleh 15 anggota Majlis Keselamatan PBB.

Gesaan berterusan di platform antarabangsa diharap dapat memberi sedikit sebanyak ketenangan dan keadilan kepada waris mangsa dan membolehkan mereka meneruskan kehidupan setelah kehilangan orang yang tersayang.

Penyiasatan insiden MH17 dibahagikan kepada dua bahagian merangkumi siasatan jenayah dan siasatan teknikal. Pasukan Penyiasatan Bersama atau Joint Investigation Team (JIT) yang dianggotai oleh negara Australia, Belgium, Malaysia, Ukraine dan Belanda selaku penyelaras JIT.

Siasatan jenayah masih lagi dijalankan dan JIT menjangkakan siasatan terperinci akan diteruskan sehingga sekurang-kurangnya akhir 2015 bagi membawa mereka yang bertanggungjawab atas tragedi ini ke muka pengadilan.

“Kita tidak menuding jari kepada mana-mana pihak atas perbuatan itu sehinggalah bukti benar-benar sahih dapat diabsahkan,” kata Najib di dalam ucapannya.

Pihak Lembaga Keselamatan Belanda atau Dutch Safety Board (DSB) mengetuai siasatan teknikal yang terdiri daripada pakar-pakar Malaysia, Ukraine, Amerika Syarikat, Rusia, United Kingdom, Australia dan Belanda.

DSB bertanggungjawab mengendali dan menjalankan siasatan berdasarkan piawaian dan ketetapan yang dinyatakan dalam Lampiran ke-14 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Pada 2 Jun lalu, draf laporan akhir siasatan ke atas kemalangan dan penyiasatan berkaitan laluan penerbangan telah diedarkan kepada wakil bertauliah atau Accredited Representatives setiap negara terlibat dan mempunyai 60 hari untuk mengemukakan komen terhadap laporan tersebut.

Laporan akhir insiden kemalangan MH17 dijangka akan diterbitkan pada awal bulan Oktober 2015 oleh DSB.

Lebih 1000 hadir pada majlis kelmarin , termasuk -menteri Kabinet, waris dan ahli keluarga mangsa nahas, wakil kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, duta dan pesuruhjaya tinggi asing ke Malaysia, pengurusan tinggi MAS, kakitangan serta pemimpin-pemimpin pelbagai agama.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Datuk Haji Muhyiddin Haji Mohd. Yassin, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman, dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Sistem Berhad, Cristoph Mueller.

Tinggalkan komen anda