
Laporan: Asmidar Zainol / Foto: Shahvian Muhammad Razali (Sabah)
KOTA KINABALU, 27 Nov (Malaysiaaktif) – Dengan berbekalkan wang saku RM100 sebulan daripada ibunya untuk menyara hidup semasa meneruskan pelajaran di dua buah kolej, Jessuol Sutirin, 25 kini mampu tersenyum lebar.
Berkat wang saku berkenaan Jessuol diumumkan sebagai pelajar cemerlang Anugerah Presiden dan juga Anugerah Naib Chanselor Fakulti Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti pada Majlis Konvokesyen Pertama 2017 Kolej Universiti North Borneo, Kota Kinabalu dan Kolej Geomatika,Keningau, Sabah di sini pada Sabtu.

Toh Puan Norlidah Tan Sri R. M. Jasni yang juga Canselor NBUC Kota Kinabalu menyampaikan diploma kepada Jessuol (dua dari kiri).
Pelajar Diploma Pengurusan Pelancongan tersebut berkata, kejayaannya bukan sahaja daripada hasil usaha sendiri tetapi juga hasil dorongan daripada keluarga terutama daripada ibu tercinta, Judiah Manggi, 57.
“Ibu merupakan seorang ibu tunggal yang hanya berkerja sebagai petani yang sentiasa memberi semangat untuk meneruskan pelajaran walaupun keadaan kewangan kami yang agak terhad.
“Kata ibu, tentang wang jangan dirisaukan, saya hanya perlu belajar sahaja hingga berjaya. Walau bagaimanapun sebagai seorang anak, saya tidak mahu menyusahkan ibu, jadi bagi menampung perbelanjaan sara hidup, saya melakukan kerja-kerja sambilan sepanjang tiga tahun melanjutkan pelajaran,” kongsinya.
Anak bongsu daripada enam beradik itu berkata antara pekerjaan yang pernah dilakukannya ialah bekerja sebagai kru majlis dan juga berkerja sebagai pelayan restoran pada setiap hujung minggu.
Ditanya cara-cara dia menguruskan masanya, Jessuol berkata secara jujurnya dia tidak belajar di rumah tetapi memberi tumpuan 101 peratus ketika di dalam kelas.
“Saya juga suka terlibat dengan aktiviti kokurikulum dan sangat aktif sehingga pernah menjadi Kapten kepada pasukan futsal universiti bagi pertandingan Sukan Mahasiswa Sabah selain turut pernah mewakili Ranau dalam pasukan bola Sepak bawah 23 tahun,” ujarnya.
Selain memberi penghargaan kepada ibunya, Jessuol turut merakamkan terima kasih kepada pensyarahnya yang juga mantan Ketua Pegawai Operasi NBUC, Jaisam Julpareal.
“Pensyarah saya, Sir Jaisam, menjadi sumber inspirasi saya untuk berjaya kerana dia banyak memberi galakkan untuk berusaha menjadi yang terbaik di dalam Kolej Universiti.
“Dorongan untuk menjadi yang terbaik itu, telah membawa saya ke tahap seperti hari ini dan saya berharap kejayaan ini akan dapat memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar baharu nanti,” katanya.
Sementara itu, ibu Jessuol, ketika ditemui melahirkan rasa syukur atas kejayaan anaknya itu.
“Saya tidak sangka dia dapat menjadi pelajar terbaik, bersyukur kepada tuhan dan terima kasih kepada pensyarah-pensyarah yang mengajar anak saya.
“Kejayaan Jessuol ini menjadi kebanggaan bukan sahaja kepada saya tetapi juga kepada seluruh keluarga yang lain.
“Ini kerana, dia seorang sahaja yang dapat melanjutkan pelajaraan ke peringkat tertinggi dan harapan saya agar dia akan dapat apa yang dia inginkan pada masa hadapan.
“Bagi meraikan kejayaan Jessuol, kami akan mengadakan majlis kesyukuran bagi meraikan kejayaan Jessuol,” kongsinya lagi.
–SF