
Disediakan oleh : Mahazir bin Abu Hassan
Foto : Zainaudin Ab Hamid
BALING, 22 Mac (Malaysiaaktif) – Dalam usaha untuk mengalakkan pelajar dan penduduk setempat rajin membaca, Program Galakan Membaca ” Maghi ke Perpustakaan” dan Sepakat Komuniti 1 Malaysia Mukim Siong anjuran bersama Perpustakaan Desa Kampung Pokok Setol Zon 8 dan Komuniti 1 Malaysia Mukim Siong telah diadakan di Perkarangan Perpustakaan Desa Kampung Pokok Setol hari ini.
Berucap semasa merasmikan program ini Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kupang mewakili Ahli Parlimen Baling Datuk Harun Abd Aziz berkata, program seperti ini bertujuan memaju dan meningkatkan pengurusan sumber ilmu dan maklumat untuk melahirkan masyarakat berbudaya membaca dan berilmu pengetahuan melalui penyediaan prasana ilmu yang kondusif di Negeri Kedah khususnya Daerah Baling .
” Amalan membaca amat penting supaya kita memperolehi ilmu secukupnya untuk mengharungi kehidupan di masa akan datang”, katanya lagi.
Menurut Pembantu Perpustakaan Desa Norhashiken Abu Hassan 32, Program sebegini dapat mengeratkan silaturahim antara penduduk kampung, dan di samping itu dapat memupuk minat membaca di Perpustakaan Desa, ujarnya lagi.
Sementara itu, seorang pengunjung ke program ini yang memenangi Anugerah tokoh Bapa Mithali Normisham samsudin, 40, berkata, beliau tidak menjangka aktiviti beliau menghantar anaknya ke Perpustakaan Desa membolehkanya memenangi anugerah ini.
“Daripada membiarkan anaknya melakukan aktiviti yang sia-sia lebih baik pergi ke Perpustakaan meminjam buku supaya mendapat ilmu secukupnya “, ujarnya lagi.
Program berlangsung meriah dihadiri kira-kira 300 orang pengunjung dengan berbagai aktiviti menarik antaranya, Taklimat Keselamatan dan Demonstrasi Memadam Kebakaran oleh Bomba dan Penyelamat, pameran daripada Agensi Kerajaan dan Swasta, Penyampaian Anugerah Peminjam Buku Terbanyak, Sukaneka, Mewarna kanak-kanak dan dewasa serta Pertandingan Aneka Kerabu.
Turut hadir di majlis ini ialah Wakil Pengarah Perpustakaan Awam Negeri Kedah, Zainal Abidin Yang Omar, Penghulu Mukim Siong, Mohamad Yusof Abd Rasid, Pengerusi Komuniti 1 Malaysia Mukim Siong, Mohamad Azemi Ghazali dan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kemajuan Kampung Pokok Setol Syukri Abd Rahman.
– MRR