Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeMelaka

Uniform ‘Sayangi Malaysiaku’ simbol perpaduan

By 31 Ogos 2018Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Laporan dan foto: Mohd Zakry Chan (Melaka)

MELAKA, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Kontinjen perbarisan Balai Islam Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mencuri tumpuan para pengunjung yang hadir apabila muncul dengan uniform bertemakan ‘SayangiMalaysiaku’ di Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka Tahun 2018, pagi tadi.

Berlangsung di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir, lebih 20,000 pengunjung membanjiri sepanjang laluan perbarisan dari Banda Hilir ke Jalan Hang Tuah.

Warna baju korporat merah, biru, putih dan kuning serta dipadankan dengan songkok berlambangkan logo sambutan Hari Kebangsaan menyemarakkan lagi tema sambutan tahun ini.

Menurut peserta Firdaus Chia, 45, sambutan Hari Kebangsaan tahun ini amat istimewa apabila tema ‘SayangiMalaysiaku’ menyeru semua rakyat tanpa mengenal agama dan bangsa untuk menyayangi negara.

“Kesemua peserta seramai 40 orang terdiri daripada saudara muslim dan kakitangan pihak pengurusan Balai Islam yang telah membuat persiapan awal dalam memastikan semua berjalan lancar. Selain meningkatkan semangat patriotik dan jati diri saudara baru, perbarisan ini juga dapat mengeratkan silaturrahim dan melahirkan saudara Muslim yang hebat dalam kalangan masyarakat,” ujar Firdaus.

Manakala seorang lagi peserta,  Muhammad Syaban A.M Mohan, 16, berkata, “sebagai seorang pelajar, saya sangat berbangga dapat menyumbang tenaga untuk menjayakan perbarisan hari ini. Di samping dapat melihat suasana sambutan dan meningkatkan jati diri sebagai rakyat Malaysia, saya juga dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan saudara Muslim yang terdiri daripada pelbagai kaum,” katanya.

“Kontinjen Balai Islam menerapkan elemen perpaduan dengan adanya pelbagai kaum antaranya Melayu, Cina, India, Orang Asli dan Etnik Sabah dan Sarawak. Inilah perpaduan yang menjadi tunjang keharmonian negara,” tambah Syaban yang benar-benar merasai semangat cinta akan negara melalui tema ‘SayangiMalaysiaku’

Sebanyak 163 kontinjen menyertai Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2018 Peringkat Negeri Melaka hari ini.

Pelbagai bangsa dalam kontijen Balai Islam memupuk perpaduan.

Pelbagai bangsa dalam kontijen Balai Islam memupuk perpaduan.

-kn

Tinggalkan komen anda