Skip to main content
HomePutrajaya

Belia Korea Kagum Perpaduan Rakyat Malaysia

By 31 Ogos 2018September 1st, 2018Tiada komen2 minit bacaan

Laporan dan foto oleh: Eparizan Mansor (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 31 Ogos 2018 (MalaysiaAktif) – Tema ‘budaya’ sempena Program Pertukaran Belia Korea-Malaysia mengangkat Malaysia di mata belia Korea sebagai negara Asia terbaik dengan semangat perpaduan berbilang bangsa menyambut kemerdekaan hari ini.

Budaya kebersamaan tampak jelas dizahirkan melalui slogan Sayangi Malaysiaku sebagai titik perpaduan seluruh rakyat Malaysia bersatu bangkit menzahirkan perasaan cinta kepada negara sempena sambutan Hari Kebangsaan 2018.

Jihun Oh, 24, Ketua Belia Korea sempena Program Pertukaran Belia Korea-Malaysia anjuran Kementerian Belia dan Sukan ketika ditemui melahirkan rasa syukur dapat menikmati keamanan hasil kemerdekaan Malaysia dan teruja kerana berpeluang bersama-sama menyaksikan acara bersejarah Malaysia pagi ini.

“Saya akan menceritakan kepada rakan-rakan yang lain apabila pulang nanti supaya berkunjunglah ke Malaysia kerana Malaysia bumi bertuah yang selamat untuk dikunjungi apatah lagi sudah 61 tahun merdeka.” Katanya.

Jihun Oh teruja berpeluang meraikan Hari Kemerdekaan Malaysia

Jihun Oh teruja berpeluang meraikan Hari Kemerdekaan Malaysia

Bagi  Saet Dyeol Yoo, 35, Ketua deligasi Program yang pertama kali datang ke Malaysia juga turut berasa gembira kerana keharmonian pelbagai kaum dapat dirasakan sepanjang sembilan hari mengikuti program-program yang telah diatur sehinggalah kemuncak program, sambutan kemerdekaan Malaysia hari ini.

“Saya berhajat membawa keluarga berkunjung ke Malaysia untuk bercuti pada masa akan datang pula.” ujarnya.

Saet Dyeol Yoo (pertama dari kiri) mengibarkan jalur gemilang bersama belia Korea yang lain dan pengunjung yang hadir

Saet Dyeol Yoo (pertama dari kiri) mengibarkan jalur gemilang bersama belia Korea yang lain dan pengunjung yang hadir

Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Belia, Kementerian Belia dan Sukan, Fazulia Zulkifli ketika ditemui berkata program tahunan sejak 1979 ini berjaya dihidupkan semula  sejak dihentikan sementara pada tahun 2015 dan pada kali ini tema budaya digunapakai bagi mendedahkan budaya Malaysia kepada belia Korea dalam usaha menjaga hubungan kerjasama dua hala negara.

“Program ini bertujuan menyediakan peserta di kedua-dua buah negara peluang untuk pendidikan informal dan bertukar pendapat serta memahami budaya dan tradisi masing-masing selain membangunkan persefahaman bersama di kalangan belia melalui pertukaran maklumat terkini dalam bidang pembangunan belia.” Tambahnya lagi.

Sementara itu, Pemimpin Kebangsaan Pertukaran Belia Malaysia-Korea, Mohammed Shahnaz Mawardi, 33, yang turut sama meraikan belia Korea ke Putrajaya berkata beliau tidak sabar untuk mengetuai misi besar belia Malaysia ke Korea yang dijadualkan pada bulan November ini.

“Selain mendedahkan para belia dengan persekitaran yang positif terutama dalam membina kemahiran untuk meningkatkan hubungan peringkat antarabangsa, deligasi kami akan mempelajari idea strategi  yang digunapakai oleh Korea untuk membangunkan negara dengan lebih pantas.” Ujarnya.

Program Pertukaran Belia Korea-Malaysia yang dianggotai seramai 15 orang belia Korea berkunjung seawal 7.00 pagi di Dataran Putrajaya akan berakhir hari ini dan pertukaran belia Malaysia-Korea pula akan menyusul pada bulan November ini dengan tema ‘Industri Masa Depan’.

EM

Tinggalkan komen anda