
Laporan/Foto: Mohd Faizal Mansor/Jeffrey Nian dan Jainudin Djimin (Labuan)
LABUAN, 24 Okt (Malaysiaaktif) – Pengerusi Perbadanan Labuan yang baharu dilantik, Dato’ Seri Amir Hussien berkata, beliau akan berusaha untuk menjadikan Labuan sebagai sebuah pulau yang bergerak ke hadapan seiring dengan pembangunam Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Selain itu, beliau akan lebih memberikan tumpuan dengan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan terutama kepada penduduk tempatan dengan membawa lebih banyak syarikat berorentasikan industri dan pelancongan yang dapat menjana ekonomi Labuan.
“Kita akan berusaha untuk melihat mana-mana syarikat untuk tujuan tersebut dan pada masa yang sama kita akan menyediakan latihan kepada pekerja agar mereka dapat diterima sebagai pekerja yang berkemahiran dalam syarikat yang bakal diwujudkan di Labuan” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan Anggota Perbadanan Labuan dan Majlis Penasihat Perbadanan Labuan di Wisma Perbadanan Labuan, pagi tadi.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan khususnya kepada Menteri Wilayah atas kepercayaan yang diberikan kepada beliau untuk menerajui Perbadanan Labuan yang dianggap sebagai satu tanggungjawab yang berat dan harus dilakukan dengan sebaik mungkin bagi mencapai misi Kementerian Wilayah.
Amir turut menjelaskan sektor pelancongan merupakan salah satu industri yang akan diberikan tumpuan untuk dibangunkan melalui pelan pembangunan yang lebih komprensif.
Sehubungan dengan itu, beliau akan berbincang dengan Kementerian Pelancongan mengenai dengan peruntukan yang disediakan oleh kementerian itu untuk disalurkan kepada setiap negeri bagi tujuan pembangunan pelancongan.

DIKERUMUNI…. Amir ketika ditemui media selepas perlantikan sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan yang baharu penggal 2018-2020.
“Kita mahu pengusaha industri pelancongan di pulau ini mengambil peluang untuk meningkatkan produk pelancongan mereka” katanya.
Sementara itu, beliau tidak menolak kemungkinan akan mengkaji semula struktur Majlis Penasihat Perbadanan Labuan agar lebih mesra rakyat dan berfungsi dengan lebih berkesan.