
Laporan/foto: Eviannie Kin/Mohd Nasrie Tapisil (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 25 Mac (Malaysiaaktif) – Melanjutkan pelajaran di kampus Politeknik Kota Kinabalu (PKK) selama dua tahun adalah satu pengalaman terbaik dalam hidup Shanthana Shanmuganathan, 22, yang berasal dari Klang.
Kejayaan paling bermakna baginya adalah memperoleh Anugerah Pengarah Politeknik yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Dr Juhar Mahiruddin sempena Istiadat Konvokesyen kali ke-23 di sini, pagi tadi.
Anak ketiga daripada empat adik beradik itu berkongsi rasa gembira dan teruja setelah melakar kejayaan dengan menerima pengiktirafan tertinggi seterusnya membuatkan bapanya yang berkerja sebagai pemandu lori berasa sangat bangga atas pencapaian itu.
“Setiap pengalaman belajar dan penglibatan saya dalam aktiviti kokurikulum di sini sangat berharga dan bermakna dalam hidup saya.
“Selain itu, layanan para pensyarah yang menganggap saya seperti anak sendiri, serta sokongan rakan-rakan membuatkan saya berasa amat gembira dan tidak terasa terasing merupakan antara faktor pencapaian cemerlang akademik dan kokurikulum sepanjang saya di sini.
“Tambahan pula, semangat dan minat mendalam dalam bidang hospitaliti juga penyumbang kepada faktor utama kejayaan saya,” kongsinya.
Ketika ditanya mengenai perancangannya selepas ini, beliau mahu menumpukan usaha dalam dunia pekerjaan terlebih dahulu kerana bidang hospitaliti mementingkan pengalaman.
“Sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya, saya ingin mendapatkan pengalaman yang banyak dalam bidang ini,” jelas Shanthana yang mengambil jurusan Diploma Pengurusan Hotel.

Floyana menerima Anugerah Industri dan Baucer Cenderahati Premium Bank Simpanan Nasional RM250 yang disampaikan oleh Tun Juhar (dua dari kanan).
Dalam pada itu, Shanthana turut berkongsi bahawa dia sudah berjaya diserapkan bekerja sebagai Front Officer Assistant di Pulse Grande Hotel, Putrajaya setelah menjalani latihan industri selama setahun.
Sementara itu, penerima Anugerah Industri, Floyana Chin, 22, berasal dari Tamparuli antara anak muda yang berani mencari pengalaman baharu dan sanggup bekerja di luar negeri Sabah.
Kini, beliau merupakan Junior Programmer di sebuah syarikat swasta iaitu Bellfield Star di Petaling Jaya, menerima gaji permulaan sebanyak RM2,500 setiap bulan.
“Keinginan untuk membantu dan membalas jasa baik ibu yang bersusah payah membesarkan saya dan dua orang adik sendirian menjadi pendorong kejayaan saya.

Penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum, Norbayah Ahmad (kiri) dan Penerima Anugerah Industri, Floyana merakam gambar kenangan bersama.
“Oleh itu, apabila saya mendapat tawaran kerja tersebut melalui laman sesawang JobStreet.com, saya tidak teragak-agak untuk terus menerimanya dan menimba pengalaman di tempat baharu,” kongsinya kepada media mengenai pendorong menyahut cabaran bekerja di luar negeri.
Seramai 1,321 graduan PKK sesi Disember 2017 dan Jun 2018 dianugerahkan sijil dan diploma bagi Konvokesyen PKK kali ke-23 tahun ini.
EM