
Laporan/foto: Mohd.Mahathir/ Kelab Belia Keningau/KDCA Youth Council (Keningau)
KENINGAU, 15 Apr (Malaysiaaktif) – Pegawai Daerah Keningau, Faimin Kaimin menyeru masyarakat Keningau untuk sentiasa menjaga kebersihan kerana ia merupakan tanggungjawab setiap penduduk di daerah ini.
“Saya percaya daerah Keningau boleh dinaik taraf status pekan ke bandar satu hari nanti dan menjadikan kebersihan sebagai kriteria penting.
“Mulai dari sekarang sama-samalah kita jaga kebersihan daerah Keningau dan menggembleng tenaga menaik taraf ia menjadi bandar Keningau,” katanya.
Lebih 150 orang terdiri daripada penjawat awam, guru, pelajar sekolah dan juruhebah radio Atukoi FM menyertai Kempen Keningau Bersih dengan mengadakan gotong royong di sekitar Padang Bandaran dan sebahagian Pekan Keningau.
Kempen ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat Keningau bahawa menjaga kebersihan bukan hanya tanggungjawab majlis daerah tetapi setiap individu juga perlu memainkn peranan.
Kempen ini juga merupakan kerjasama bersama Atukoi FM sempena Jelajah Atukoi FM, Pejabat Daerah Keningau, Majlis Daerah Keningau, Kelab Belia Keningau, KDCA Youth Council dan Skuad Misi Gempur Denggi SMK Apin-Apin Keningau, kelmarin.
Dalam pada itu, Andrew Impongan atau lebih dikenali sebagai juruhebah Otthoe berkata program ini merupakan kesinambungan program jelajah AtukoiFM yang telah berlangsung pada Pesta Kalimaran Tenom.
“Pada kali ini kami berada di Keningau di mana pihak kami telah mengadakan beberapa Program Kebajikan antaranya mengumpul derma untuk Sekolah Tahfiz Al-Ilmi, Perlawanan Persahabatan Bolasepak Selebriti Atukoi FM vs Keningau FA dan juga kempen “Keningau Bersih!” yang mendapat sokongan penuh daripada pegawai daerah Keningau.
“Di samping itu juga kami turut mempromosikan Atukoi FM ini sebagai radio komuniti di Sabah dan menyebarkan program-program komuniti.
“Seterusnya kami akan bergerak menuju ke Labuan dan Ranau dalam rangka jelajah Atukoi FM, dan pesanan kepada para pendengar, sila muat turun aplikasi di internet untuk mendengar AtukoiFM,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Program, Rafie Robert berkata program yang melibatkan derma sambil beramal dan bersukan harus diperbanyakkan kerana para belia yang aktif lebih menyukai program yang berbentuk santai.
“Kerjasama antara Atukoi FM dan Kelab Belia di Keningau merupakan kerjasama yang bijak kerana belia di sini begitu aktif dan sesuai dengan pembangunan belia.
”Ini merupakan kempen serampang dua mata di mana bukan sahaja kami dapat melaksanakan aktiviti amal malah kami juga turut mempromosikan bahaya denggi kepada masyarakat setempat.
“Kami juga turut berkerjasama dengan Pejabat Kesihatan Keningau untuk mempromosikan bahaya denggi dan bergerak ke sekolah-sekolah bagi meluaskan lagi pengetahuan tentang bahaya denggi ini,” jelasnya.
EM