
Laporan/Foto: Norliza Yusof/ Shahvian Mohd Razali (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 23 Apr (Malaysiaaktif) – Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sabah (SEDCO) menyahut seruan kerajaan bagi membanteras pelanggaran integriti dengan melaksanakan ‘Anti- Bribery Management Systems’ (ABMS).
Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir berkata, pelaksanaan ABMS merupakan tanda komitmen Perbadanan dan kakitangan SEDCO dalam menyokong hasrat kerajaan untuk mencegah sebarang aktiviti rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa khususnya apa jua yang melibatkan rasuah.
“Ia juga bertujuan untuk memperkasa imej perbadanan lebih berintegriti serta memberikan panduan bagi menambah baik sistem pengurusan menjadi lebih proaktif dalam menangani gejala rasuah.
“Selain itu, ia diwujudkan untuk memantapkan kecekapan tadbir urus dan memastikan agar sistem penyampaian perkhidmatan menjadi yang terbaik, telus dan amanah.
“Pihak Pengurusan SEDCO akan sentiasa membuat pemantauan menyeluruh serta memberikan tumpuan kepada komunikasi dalaman dan berharap agar semua warga SEDCO dapat memberikan sepenuh komitmen terhadap standard ini bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya.
“Syabas dan tahniah turut diucapkan kepada semua pihak yang terlibat khususnya Unit Intergriti SEDCO dalam merancang dan melaksanakan ABMS di Perbadanan dan diharap dengan terlaksananya ABMS ini imej dan kualiti Perbadanan dapat dimantapkan ke arah mencapai matlamat organisasi untuk menyampaikan perkhidmatan yang cekap dan berterusan,” kata beliau.

Peserta taklimat merakam gambar kenangan bersama Azrul (duduk, tengah), Zaleha (dua dari kanan) dan Sazali (dua dari kiri).
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Azrul Ahmad dalam Majlis Pelancaran dan Taklimat Dalaman MS ISO 37001:2016 ABMS Perbadanan Ekonomi Sabah, hari ini.
Sistem piawaian yang dikenali Malaysian Standard MS ISO 37001:2016 ABMS dilancarkan pada Oktober tahun lalu oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Jabatan Standard Malaysia dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan SEDCO merupakan agensi pertama di peringkat negeri Sabah yang melaksanakan sistem tersebut.
Turut hadir, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Sazali Salbi serta Peguam Besar Negeri Sabah merangkap Ahli Lembaga Pengarah SEDCO, Datuk Zaleha Rose Datuk Pandin.