
Laporan/foto : Mohamad Azree / Che Nor
RAUB, 28 Apr (Malaysiaaktif) – Bukit Fraser merupakan lokasi pelancongan yang dikelilingi alam semula jadi yang amat menarik dan menjadi tumpuan bagi pencinta alam sekitar bukan sahaja dalam negara malah dari luar negara.
Sejarah awal pembukaan Bukit Fraser adalah pada 1890 oleh Louis James Fraser yang berasal dari Scotland bagi perlombongan bijih timah.
Sempena 100 tahun pembukaan Bukit Fraser, satu majlis gilang-gemilang bakal diadakan bagi memperingati pembukaan Bukit Fraser yang selama ini menjadi simbolik bagi sektor pelancongan di daerah Raub.
Datuk Hamdan Husin, Pegawai Daerah Raub merangkap Pengerusi Jawatankuasa Persiapan Sambutan 100 Tahun Bukit Fraser berkata,”Semua jabatan dan agensi kerajaan mahupun swasta bekerjasama dalam persiapan bagi menjayakan sambutan ini yang akan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.”
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang turut sama mencemar duli bagi menyaksikan acara sambutan serta melakukan aktiviti bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.
Konsep sambutan yang bakal dipersembahkan memaparkan kisah pembukaan Bukit Fraser. Artis tersohor tanah air, Datuk Jalaluddin Hassan merupakan penyampai cerita dalam persembahan tersebut dan turut disertai oleh artis-artis daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Pahang (JKKN) serta artis-artis dari Kementerian Pelancongan Malaysia.
Seramai 2000 pengunjung dijangka hadir bagi menyaksikan dan memeriahkan acara sambutan ini. Menteri Besar Pahang dan Menteri Besar Selangor akan turut hadir dalam majlis tersebut.