
Laporan/foto:Zuraidah Ahmad/Johnny George Kimlon (Kota Kinabalu)
KENINGAU, 11 Mei (Malaysiaaktif) – Bekas kakitangan di Kelab Lumba Kuda Diraja Sabah atau Royal Sabah Turf Club, Anthony Santol, 70, tidak menyangka dikunjungi isteri Yang Dipertua Negeri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni.
Beliau yang pernah berkhidmat dengan Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah yang keenam, Allahyarham Tun Mohamad Adnan Robert selama lebih kurang 10 tahun di kelab tersebut sebagai penjaga kuda.
Kegagalan dalam perkahwinan bersama gadis pilihannya, menyebabkan Anthony tawar hati untuk berumahtangga lagi dan rela berkongsi rumah dengan adik-beradik dan anak saudara.
“Saya rasa terharu kerana hubungan saya dengan pihak Istana Negeri sudah lama berlalu sejak tamatnya tempoh perkhidmatan Allahyarham Tun Adnan.
“Kini, saya tinggal di rumah yang dikongsi tujuh keluarga dengan jumlah isi rumah seramai 20 orang dengan serba kekurangan terutama bekalan air paip yang tidak ada sampai sekarang,” luahnya.
Beliau menerima sumbangan berupa wang tunai serta barangan dapur daripada Yayasan Nur Jauhar (YNJ) dalam Program Ziarah Ramadan Rumah Ke Rumah di Kampung Patikang, pada Sabtu.
Turut menerima ziarah serta sumbangan YNJ, pesara Pegawai Penguatkuasa Majlis Daerah Keningau, Mohd Ghazali Ladi, 71, dan isterinya, Norlia Yahya, 69, di Kampung Sodoton.

SUMBANGAN….Toh Puan Norlidah menyampaikan sumbangan kepada Mohd Ghazali, sambil diperhatikan Norlia (kanan) dan rombongan YNJ.
Pada sesi ziarah tersebut, pasangan warga emas itu kelihatan ceria sambil berbual mesra dengan Toh Puan Norlidah yang juga Penasihat YNJ.
Selain itu, Toh Puan Norlidah dan rombongan juga menziarahi warga emas, Fadrun Aral, 64, di Kampung Bariawa Laut sebelum berziarah ke rumah keluarga pesakit usus, Raiman Perak, 79, di Kampung Kota Ayangan.